Berbahasa Melayu buat video masak bantu Salee Style popular di Malaysia
Azlinariah Abdullah
Februari 22, 2025 09:00 MYT
Februari 22, 2025 09:00 MYT
Pempengaruh masakan Melayu, Salee Style (tiga dari kiri) semasa ditemui Astro AWANI di Pattani, Thailand baru-baru ini. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: "ASSALAMUALAIKUM kak kak dio, abe abe dia..."
Celoteh pembuka kata wanita berkulit putih dalam bahasa Melayu-Siam untuk video memasaknya begitu cepat popular khususnya di Malaysia.
Beratus-ratus video dan menu masakan dikongsi dan disiarkan di platform Facebook dan TikTok serta YouTube sejak lebih tiga tahun lalu.
Asalnya, video memasak dan menyediakan menu masakan Melayu itu dibikinnya dalam bahasa Thailand. Tetapi malangnya, pengikut atau penonton cuma keluarga terdekat, barangkali kurang dari 10 orang sahaja.
"Alhamdulillah, apabila video memasak saya hasilkan dalam bahasa Melayu, bahasa seharian saya juga, dia meletup tiba-tiba. Saya masih ingat, saya terperangkap banjir pada tahun 2023. Kebetulan ada ikan baung dan saya buat menu Kengsom, iaitu hidangan masak asam yang popular di sebelah wilayah Selatan Thailand.
"Secara tiba-tiba sahaja, video selama 10 minit saya dalam bahasa Melayu itu, ramai yang tonton, ramai yang kata mahu cuba resipi dan mereka akui seronok tengok perkongsian video saya. Sejak itu, saya buat video dalam bahasa Melayu sahaja," kata Salee Style atau nama sebenarnya Salihah kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Salee, ibu dua anak ini, kini antara pempengaruh masakan terkenal bukan sahaja di Thailand dan Malaysia malah Indonesia dan Brunei serta Singapura.
Menggunakan akaun dengan nama Salee Style, jumlah pengikutnya di Facebook kini 1ebih 700,000 orang dan di TikTok pula lebih ramai, iaitu hampir 1 juta orang. Kebanyakan pengikutnya adalah dari Malaysia dan Brunei.
"Jika tidak buat video dalam bahasa Melayu dan memilih bahasa Thailand sebagai komunikasi di media sosial, saya mungkin sekarang menjual makanan di pasar malam atau bekerja sebagai penoreh getah di kampung saya di Piya Sabayoi, Songkhla.
"Alhamdulillah, pengikut-pengikut saya di beberapa negara ASEAN banyak memberi panduan dan meminta resipi dan mencuba resipi yang saya kongsi dalam video-video saya siarkan selama ini. Saya berterima kasih kepada mereka untuk itu, ia banyak membantu kehidupan saya dan keluarga pada hari ini," ujar beliau.
Selain video menu Kengsom yang "meletup" dan melonjak namanya secara tiba-tiba, Salee turut berkongsi video menu seperti Tom Yam, Tom Sep dan Salad Miang Kam dan Miang Pla juga mendapat banyak jumlah tontonan dan dikongsi ribuan orang.
"Seingat saya, video menu Nasi Dagang, Laksa, Nasi Kerabu dan Mee Goreng juga banyak yang dikongsi dan disukai. Begitu juga kuih dan pencuci mulut seperti Ketupat, Bahulu dan Apam," ujar Salee lagi.
Katanya, dia mengambil masa berjam-jam lamanya untuk menghasilkan satu-satu video, kerana terlebih dahulu perlu mencari bahan untuk memasak dan lokasi bersesuaian.
Kongsi Salee, apabila mahu membuat video memasak, bahan diperlukan untuk memasak mesti segar, pertuturan perlu fasih dan berpengetahuan tentang sesuatu menu yang mahu disediakan.
"Sebelum ini saya pernah "post" video keluarga, jalan-jalan sambil makan di pasar malam dan sebagainya sebagai ""content". Ia lebih mudah, tetapi malangnya, tiada yang mahu tengok.
"Video memasak, kandungannya susah, ambil masa lama tetapi permintaannya banyak. Itu sebabnya saya kekal untuk jadi pempengaruh dalam bidang masakan ini," katanya yang mahu melihat makanan tradisi Melayu ini dikongsi golongan muda dan tidak pupus begitu sahaja.
Salee berharap dengan perkongsian videonya di media sosial bukan sahaja membantu memastikan menu masakan Melayu terus dipelihara tetapi ia juga sebagai usaha untuk menghantar mesej bahawa dalam konteks budaya, makanan dan bahasa boleh menyatukan masyarakat.
"Siapa sangka, bahasa Melayu sahaja boleh menyebabkan peminat bukan sahaja dari Selatan Thailand, tapi di luar wilayah ini, gemar untuk menonton video yang saya hasilkan. Saya juga teruja apabila menu-menu yang saya kongsi membuatkan ada peminat golongan muda dari Malaysia, Indonesia dan Brunei mahu saya menghasilkan lebih banyak resipi-resipi warisan, yang mereka pernah nikmati tetapi jarang didapati sekarang.
"Sebenarnya, dengan kata lain, usaha saya ini diharap dapat dibaca sebagai gambaran bahawa ada begitu banyak persamaan boleh dikongsi di Nusantara dan kita hanya perlu meraikannya sahaja, " kata Salee.
Mengambil contoh dirinya, apa yang dilakukan juga adalah gambaran bahawa di wilayah selatan Thailand, yang dilabel sebagai tidak aman oleh sesetengah pihak, adalah sebaliknya.
"Jika Selatan Thailand tidak aman atau bergolak, bagaimana mungkin saya boleh ke sana-sini, menghasilkan video memasak dan berkomunikasi pula dengan jutaan pengikut di media sosial," katanya yang mengakui videonya juga mengundang tarikan lebih ramai pelancong untuk datang ke Narathiwat, Yala dan Pattani bagi menikmati makanan terkenal di wilayah-wilayah itu.