Berbahagi kebahagiaan dengan mereka yang memerlukan

Astro Awani
April 3, 2024 23:34 MYT
Aktiviti yang dijalankan dalam program ini bukan hanya sekadar hiburan semata, tetapi juga satu bentuk kemahiran yang merangsang pembangunan kesihatan mental dan emosi anak-anak OKU. - Gambar ihsan Yayasan Ikhlas.
KUALA LUMPUR: Musim Ramadan dan Syawal bukanlah hanya tentang berbahagi kebahagiaan dengan anak yatim dan asnaf, tetapi juga untuk mengenali dan memberi perhatian kepada saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik, termasuk anak-anak yang memerlukan perhatian khusus.
Memahami pentingnya menjalin empati dan kasih sayang, Yayasan Ikhlas bersama para sukarelawan telah mengadakan sebuah program istimewa yang bertujuan untuk menyemarakkan kemeriahan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba di kalangan anak-anak OKU.
Menerusi program itu, Yayasan Ikhlas telah mengadakan Lawatan ke Pusat Jagaan Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan demi memberikan hiburan dan keceriaan kepada 30 anak OKU.
Menurut Pengarah Program dan Pengurus Yayasan Ikhlas cawangan Ipoh, Hassriq Hafize, aktiviti yang dijalankan dalam program itu bukan hanya sekadar hiburan semata, tetapi juga satu bentuk kemahiran yang merangsang pembangunan kesihatan mental dan emosi anak-anak OKU.
"Tradisinya, Ramadan selalu dirai bersama anak-anak yatim dan asnaf. Namun, kali ini, kami memilih untuk berada di samping kanak-kanak OKU dan melihat sendiri cabaran yang mereka hadapi setiap hari.
"Pengalaman ini membuahkan rasa empati yang mendalam dalam diri kami, sambil juga menyedarkan diri bahawa kelebihan yang kita miliki sebagai manusia yang normal seharusnya digunakan demi memberi manfaat kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Senyuman yang terukir di wajah anak-anak OKU diharapkan akan terus memberi kesan positif dalam kehidupan mereka, serta menyemarakkan suasana Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
#Yayasan Ikhlas #Aidilfitri #Ramadan #bantuan #OKU #asnaf #ceria #gembira
;