Beraya di rumah yang hampir runtuh, 7 beranak harap bantuan diluluskan

Astro Awani
Jun 2, 2019 13:44 MYT
Menurut Zalifah tunggal itu, dia pernah cuba mendapatkan bantuan namun sehingga kini status permohonan tersebut masih tidak diketahui. - Astro AWANI
Dalam kegembiraan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan beberapa hari lagi, nasib tujuh beranak di Kemaman, Terengganu pula berbeza apabila satu-satunya rumah yang didiami mereka kini hampir runtuh.
Lebih membimbangkan, Zalifah Seman, 44, dan enam anaknya terpaksa hidup dalam bahaya dan tidak selesa berikutan sebahagian daripada rumah pusaka yang dihuni sejak tiga puluh tahun lalu kini hampir musnah akibat dimakan anak-anai.
Menurut ibu tunggal itu, dia pernah cuba mendapatkan bantuan namun sehingga kini status permohonan tersebut masih tidak diketahui.
"Sudah pernah cuba minta bantuan dahulu. Saya pun tidak tahu sebab (permohonan) itu tidak berjaya. Dahulu kata (permohonan) sudah lulus tetapi selepas pilihan raya (status permohonan tidak diketahui), mungkin sebab kerajaan lain.
"Saya pun tak pasti juga, senyap begitu sahaja. Memang saya tiada duit, cukup-cukup makan sahaja," katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Zalifah yang mengambil upah menjahit baju hanya memperoleh pendapatan purata sebanyak RM800 sebulan.
Dengan pendapatan tersebut, dia tidak mampu untuk membaiki rumahnya dan terpaksa menggunakan ruang tamu sebagai 'bilik tidur' dan 'dapur'.
Ini kerana, bahagian rumah lain termasuk bilik tidur tidak lagi boleh digunakan kerana mengalami kerosakan pada bahagian lantai, dinding serta bumbung.
Keadaan tersebut menyebabkan kesemua anak Zalifah yang berusia antara 10 dan 23 tahun terpaksa tidur berhimpit di ruang tamu.
Jelas Zalifah, setiap tahun mereka hanya menyambut lebaran secara ala kadar dan tidak mampu menyediakan kelengkapan hari raya seperti orang lain.
"Sekarang ini belum beli baju raya lagi. Sudah janji dengan dia (anak) untuk beli baju raya. Tunggu pelanggan datang ambil baju tempahan. Bayaran tempahan baju sebelum ini sudah habis buat belanja.
"Ada dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 untuk dua orang anak bagi bantuan persekolahan," katanya.
Bagi meringankan beban keluarga, dua anak perempuan Zalifah turut membantu mencari pendapatan tambahan dengan mengutip tin minuman untuk dijual dan hanya memperoleh bayaran sebanyak RM3.
Justeru itu, Zalifah berharap agar pihak berkaitan dapat meluluskan permohonannya untuk memiliki kediaman yang selasa.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh membuat sumbangan kepada Zalifah di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN): 11111-41-00006910-1 atau boleh hubunginya di talian 017-920 4507.
#Aidilfitri #bantuan #hidup susah #Islam #Kemaman #Malaysia Baharu #miskin #Rumah hampir runtuh #terengganu
;