Beraya di negara orang demi tugas, tanggungjawab

Bernama
April 11, 2024 07:30 MYT
Perasaan sedih kerana berjauhan dengan keluarga di tanah air dapat diubati kerana ditemani rakan-rakan setugas di pejabat kedutaan. - Foto BERNAMA
BANGKOK: Biarpun terpaksa bertugas jauh di rantau orang ketika bulan Ramadan dan juga sambutan Hari Raya Aidilfitri, Mohd Amin Shafiq Ramlan, 31, tetap cekal meneruskan tugasnya sebagai pegawai Wisma Putra di pejabat kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand di sini.
Anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, berkata walaupun baru lebih dua bulan dipindahkan ke Bangkok, namun beliau bertanggungjawab untuk menggalas tugas itu demi negara dan dapat menimba pengalaman baharu.
Mohd Amin berkata walaupun sekali-sekala akan berasa sedih kerana berjauhan dengan keluarga khususnya ketika musim perayaan, namun perkara itu dapat diubati kerana ditemani isteri dan dikelilingi rakan-rakan setugas di pejabat kedutaan yang sangat baik.
"Sememangnya 1 Syawal seperti semua umat Islam yang lain, saya akan bermaafan dengan ibu bapa sebelum menziarahi tanah perkuburan namun kali ini agak berlainan, beraya pertama kali di negara orang," katanya kepada Bernama di sini.
Katanya, ini merupakan satu pengorbanan, tidak pulang beraya di kampung halaman, demi negara.
Sebaliknya, Mohd Amin berkata beliau lebih teruja pertama kali beraya di negara orang dan ingin menimba pengalaman baharu.
"Di sini, saya perlu belajar bahasa baharu kerana semua perkara termasuk solat dan khutbah juga menggunakan bahasa Thai. Inilah satu-satunya cabaran yang saya perlu hadapi," katanya yang baru mendirikan rumah tangga bersama Nur Fatihhah Ahmad, 30.
Beliau berkata silaturahim dalam kalangan warga pejabat kedutaan di sini amat rapat dan mereka sentiasa memberikan pertolongan kepadanya untuk menyesuaikan diri.
"Bantuan isteri dan rakan-rakan saya di sini amat penting untuk saya menyesuaikan diri dengan budaya, bahasa dan keadaan negara yang asing buat saya," katanya.
Sementara itu, Sarjan Amirul Azwa Aman, 39, seorang petugas Pejabat Pertahanan yang bakal berpindah balik ke Malaysia pada hujung bulan ini, berkata antara kelebihan beraya di perantauan adalah tidak perlu berebut untuk mendapatkan juadah raya di pasar basah ataupun di pasar raya.
"Mungkin di Malaysia, ramai yang menyambut Hari Raya Aidilfitri, jadi barang-barang keperluan raya perlu dibeli awal namun di sini tidak perlu. Kita boleh beli sehari atau dua hari sebelum raya, stok sentiasa ada," katanya.
Amirul, anak kelahiran Muar, Johor, berkata beliau telah bertugas di Bangkok lebih tujuh tahun dan beliau akan merindui keluarga besar di pejabat kedutaan itu.
"Keakraban dan hubungan antara petugas di sini telah membantu saya menjalankan tugasan dengan lancar dan selepas ini saya akan merindui mereka," katanya yang ditemani isteri Nurul Asyikin Mohamad Noor.
Beliau berkata ungkapan ini memang betul-betul mencerminkan perasaannya iaitu, daripada hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.
-- BERNAMA
#bekerja #luar negara #Aidilfitri #kedutaan
;