Beratur panjang demi 'Roti John Paling Sedap Di Pulau Pinang'

Dewi Nur Harasha Alias
April 29, 2022 17:19 MYT
Pengunjung di bazar Ramadan Teluk Air Tawar sanggup beratur panjang hanya untuk membeli 'Roti John paling sedap di Pulau Pinang.' - Gambar Astro AWANI
BUTTERWORTH: Selain martabak, roti john antara menu wajib dibeli pengunjung pada bulan Ramadan.
Di bazar Ramadan Teluk Air Tawar, Butterworth misalnya, pengunjung bazar sanggup beratur panjang hanya untuk membeli 'Roti John paling sedap di Pulau Pinang.'
Roti keluaran Sy Burger asasnya sama kelihatan dengan roti john lain namun, diberi 'nafas' baharu termasuk diletakkan isi ayam goreng rangup di bahagian atas.
Pemilik gerai berkenaan, Muhamad Syafiq Che Su, 29, ketika dihubungi berkata, selain isi ayam goreng rangup, dia turut memasukkan pes rempah dalam telur bagi mewujudkan kelainan rasa pada roti John.
"Isi ayam goreng dan telur dengan pes rempah dimasak panas-panas di kedai berbeza dengan kebanyakan roti john lain yang siap dibungkus.
"Resipi yang digunakan adalah ciptaan sendiri dan saya olah sedikit supaya ia menepati citarasa pembeli
"Mungkin sebab itu ada pengunjung sanggup beratur semata-mata untuk mencuba roti John kami," katanya ketika ditemui.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Dia yang dibantu lapan pekerja mampu menjual antara 400 hingga 500 biji roti John sehari di bazar Ramadan berkenaan.
Selain roti john, Muhamad Syafiq turut menjual burger ayam goreng chicken crispy pada hari biasa di Permatang Kuang, Penaga, Kepala Batas.
#roti john #paling sedap di Pulau Pinang #Sy Burger #bazar Ramadan Teluk Air Tawar
;