Berat mata memandang, berat bahu memikul
Wan Syamsul Amly
April 1, 2013 07:00 MYT
April 1, 2013 07:00 MYT
SEJAK Isnin, penduduk Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian mula berpindah ke rumah masing-masing. Sepanjang hari, sejumlah lori milik Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dikerah berulang alik dari pusat pemindahan sementara ke kampung berkenaan, membawa tilam dan orang kampung pulang selepas hampir sebulan hidup bagaikan pelarian.
Mana-mana penduduk yang rumahnya ranap musnah, mereka akan dibenarkan terus menetap di penempatan sementara. Namun sesuai dengan namanya yang sementara, saya jangkakan tidak lama lagi mereka juga akan berpindah ke kampung masing-masing tetapi barangkali ditempatkan di balai raya. Maklum saja, penempatan sementara sekarang ini dengan kampung mereka. jaraknya antara 20 hingga 50 kilometer jauhnya.
Ada sesuatu yang saya kesan di kalangan penduduk terlibat. Sesetengah mereka mula kedengaran merungut. Ini bukan sesuatu yang luar biasa sebaliknya sesuatu yang boleh dijangka. Jika minggu lepas rata-rata semuanya menangis selepas diberi peluang meninjau rumah masing-masing namun nada mereka hari ini agak berbeza. "Kenapa rumah rosak sampai begini sekali?" tanya mereka.
Saya tahu ini semua gangguan psikologi selepas dihempap bencana. Orang yang mengalami musibah alam pun sama, baik mangsa tanah runtuh atau banjir. Ini fasa biasa yang mereka lalui — cuba menerima keadaan dan ketentuan.
Saya difahamkan sekumpulan pakar psikologi akan dibawa masuk ke Felda Sahabat tidak lama lagi. Tugas mereka adalah untuk memberi kaunseling kepada penduduk yang terlibat agar mereka kembali tenang.
Sekurang-kurangnya pakar ini boleh mengembalikan semangat penduduk untuk benar-benar belajar menerima keadaan walaupun hal itu sudah diucapkan banyak kali bahawa mereka pasrah dengan apa yang berlaku. Tetapi hakikatnya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah untuk mereka terima. Kehidupan yang mereka bina selama bertahun-tahun hancur dalam masa tidak sampai sebulan sejak kawasan kampung mereka jadi medan perang. Apa yang mereka ratapkan adalah kehilangan harta benda dan mungkin seribu satu kenangan yang ada bersamanya.
Saya berbual dengan seorang penduduk setempat. Usianya dalam lingkungan 50 tahun. Dia bercerita kepada saya tentang tuntutan penduduk yang baginya agak melampau.
"Rumah kayu tapi minta ganti rugi sampai 60 ribu ringgit. Apa agaknya isi dalam rumah dia?
"Pihak berkenaan perlu menilai betul-betul kerosakan rumah penduduk. Ada yang sudah mula mahu menuntut yang bukan-bukan," katanya.
Saya menggelengkan kepala.
Segala apa yang musnah itu tidak mungkin dapat mereka tebus kembali. Ia akan tinggal dalam lipatan kenangan. Apa yang harus mereka lakukan ialah terus memandang ke depan dan membina semula sebuah hidup baru yang lebih cerah — dan tentunya, selamat. Tetapi benarlah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Keadaan di sekitar Felda Sahabat juga semakin tenang, tidak seperti hampir dua minggu lalu semasa saya mula bertugas di sini. Wartawan dari Kuala Lumpur juga sebenarnya sudah ramai yang meninggalkan Felda Sahabat; beberapa kerat baki yang ada adalah mereka yang sememangnya bertugas di Sabah.
Sehingga ini, kalau mengikut kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib pada Isnin, masih ada 10 pengganas yang masih bersembunyi dan bertahan. Berdasarkan beberapa kenyataan sebelum ini, bermakna sudah dua minggu "Geng 10" ini bertahan.
Saya akan menamatkan tugas di Felda Sahabat minggu ini dan pulang membawa sebeban kenangan dan pengalaman. Tetapi berdasarkan pengamatan saya, elok kiranya pakar psikologi yang dijanjikan itu datang segera sebelum lebih banyak lagi hal-hal yang menghairankan berbangkit.