'Beras putih tempatan masih tidak kelihatan' - Syed Abu Hussin
Ridauddin Daud
Mac 31, 2024 15:45 MYT
Mac 31, 2024 15:45 MYT
KUALA LUMPUR: Beras putih tempatan (BPT) masih tidak kelihatan dalam pasaran meskipun selepas Perdana Menteri mengarahkan stok bekalan barang keperluan itu diedarkan ke seluruh negara.
Ketua Pasukan Petugas Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, situasi itu dilihat dalam tinjauan terbaharu ke beberapa pasar raya di Kota Kemuning pada Ahad.
Menurutnya, berdasarkan tinjauan itu, pihaknya mendapati hanya beras putih import (BPI) yang dijual di premis berkenaan.
“Setelah 12 hari keputusan yang dibuat NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, BPT belum ada di pasaran.
“Sedangkan Azman (Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood) dalam satu temu bual sebelum ini memberi jaminan (BPT akan ada di pasaran).
“Hasil tinjauan saya di 105 lokasi pasar raya mendapati hanya lima tempat yang mempunyai bekalan BPT, itupun dalam jumlah yang sangat kecil.
“Jadi, saya minta supaya Azman bertanggungjawab memastikan bekalan beras yang dijanjikan sebelum ini sampai ke semua pasar raya sebab ramai yang menanti untuk beli beras RM26,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan bekalan BPT di beberapa pasar raya di Kota Kemuning pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mengambil tindakan terhadap Azman kerana kegagalannya itu memberi imej negatif terhadap kerajaan.
Katanya lagi, beliau juga kesal dengan tindakan Azman yang tidak bersetuju dengannya ketika mengemukakan cadangan supaya BPT dijual dengan harga RM30 sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan satu gred harga bagi beras putih bagi mengelak sebarang manipulasi BPT.
Menurutnya, melalui kaedah tersebut, BPT dan BPI ditetapkan dalam satu harga bagi beras 10 kilogram (kg).
“Dalam cadangan awal saya untuk mengatasi masalah manipulasi harga ini ialah dengan letak satu harga bagi satu gred beras.
“Kalau ada dua gred padahal beras yang sama ia akan menyebabkan berlaku manipuasi di mana BPT akan dikampit dalam BPI yang lebih mahal.
“Inilah yang berlaku sekarang ini BPT berharga RM26 bagi 10 kilogram (kg) tidak ada di pasaran,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kewajaran dikekalkan RM26 bagi 10kg sekiranya diwujudkan gred harga bagi beras yang sama, beliau menegaskan harga itu tidak munasabah.
“Harga RM26 sudah tidak munasabah sebab pengilang tidak mampu kerana mereka akan rugi,” ujarnya.