Beras, mi segera dan susu antara barangan laris di PJMKM DUN Paloh

Bernama
September 24, 2022 15:20 MYT
Ramai pengunjung dan pelanggan tidak mahu melepaskan peluang untuk menambah bekalan makanan di rumah pada harga yang murah. - Bernama
GUA MUSANG: Selain ayam dan telur, beras, krimer manis, susu sejat serta mi segera, merupakan antara barangan yang menjadi pilihan pelanggan pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Chiku 3, di sini hari ini.
Pengusaha Kedai Runcit Kak Ida Chiku 3 Fatimah Mohamad, 47, berkata barangan tersebut sentiasa menjadi pilihan pelanggan, berikutan potongan harga hingga 20 peratus yang diberikan pada program tersebut.
"Untuk hari ini saya membekalkan 200 ekor ayam, lebih kurang 400 pek beras lima kilogram (kg) dan 10kg beras, khas untuk program jualan hari ini sehingga esok.
"Walau bagaimanapun untuk stok telur, saya hanya mendapat bekalan telur gred A dan C kurang dari 100 papan, justeru kesemua telur habis dijual seawal 15 minit kami mula beroperasi pagi ini," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Pelanggan Roslina Yusof, 51, berkata dia mengambil peluang membeli kesemua barangan asas untuk bekalan selama sebulan, memandangkan ini adalah pertama kali dirinya mengikuti program jualan murah seumpama ini.
"Saya melihat ramai pelanggan sedang membeli, lalu saya juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menambah bekalan makanan di rumah pada harga yang murah seperti Milo, biskut, mi segera, sabun, beras dan banyak lagi," katanya.
Bagi Suriawaty Mat Sohor, 41, berkata beliau mengikuti rapat PJMKM yang diadakan kerana membantu mengurangkan perbelanjaannya.
"Kita tahu sekarang kos sara hidup sangat tinggi, jadi dengan adanya jualan ini saya dapat membuat penjimatan yang banyak dari segi barang-barang kering dan basah seperti ayam, susu dan Milo," katanya.
Eklima Mahyuddin, 37, berkata beliau sangat berpuas hati di atas usaha kerajaan dalam membantu mengurangkan beban rakyat, dengan menawarkan diskaun ke atas semua barangan keperluan harian komuniti di sini.
"Sangat banyak perbezaan harga barang yang dijual hari ini berbanding hari biasa, malah ini merupakan kali kedua saya menyertai PJMKM ini kerana sangat memberi kesan dalam perbelanjaan mingguan saya dan kalau boleh biarlah ia diadakan secara berterusan." katanya.
-- BERNAMA
#Program Jualan Murah Keluarga Malaysia #PJMKM #Paloh #beras #mi segera
;