Berarak iring keranda: 11 lelaki direman empat hari

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 21, 2021 13:42 MYT
Kesemua suspek yang berusia antara 15 dan 35 tahun direman bermula hari ini sehingga Khamis bagi membantu siasatan. - Foto Astro AWANI
BUTTERWORTH: 11 lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berarak mengiringi sebuah keranda mayat di Jalan Siram, di sini beberapa hari lalu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Butterworth, Nigel Jirin.
Kesemua suspek yang berusia antara 15 dan 35 tahun direman bermula hari ini sehingga Khamis bagi membantu siasatan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1969, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1988.
Langgar SOP | Polis tahan 11 individu berarak iringi keranda
Polis Seberang Perai Utara pada Ahad telah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan berhubung sekumpulan individu berarak dengan sebahagiannya menari, bermain gendang dan membawa sepanduk ketika mengiringi mayat yang diusung di dalam keranda.
Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai membawa mayat dari Teluk Air Tawar ke tempat pembakaran mayat di Jalan Tiram dengan menaiki kenderaan sebelum mula berarak sejauh kira-kira 500 meter dari tempat pembakaran tersebut.
Video berdurasi 56 minit itu kemudian tular di media sosial menimbulkan pelbagai reaksi kerana tindakan mereka jelas melanggar SOP PKP penuh.
Susulan itu, seramai 11 individu ditahan dalam operasi yang diadakan sekitar Butterworth dan Mak Mandin, selepas usaha mengesan kumpulan terbabit dilancarkan.
#keranda #langgar SOP #perintah kawalan pergerakan #PKP #Butterworth #Seberang Perai #direman #iringi mayat #iringi keranda
;