Berapa harga tanah Kampung Baru?
Wan Syamsul Amly
Mei 11, 2014 21:07 MYT
Mei 11, 2014 21:07 MYT
Kerajaan perlu menetapkan nilai bagi satu kaki persegi tanah di Kampung Baru sebelum deraf Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB 2020) dijangka dibentang pada Jun depan.
Pemula Runding Pemilik Tanah Kampung Baru, Shahariah Sabarudin berkata, ia sekali gus menjawab persoalan pemilik tanah yang didakwa ditawar harga jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran di penempatan orang Melayu itu.
``Penetapan nilai dapat mempengaruhi sentimen persetujuan generasi Kampung Baru untuk melihat pembangunan lokasi itu atau sebaliknya.
``Kita mahu bangunkan Kampung Baru, kita berpijak di tanah, pada realiti. Adakah kerajaan tahu berapa nilai sebenar tanah di sini,'' katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
Sebelum ini, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) yang menjadi perantara kerajaan dan pemilik tanah Kampung Baru menyatakan sebanyak 88 peratus daripada 2,388 pemilik tanah sudah menyatakan persetujuan untuk membangunkan semula kawasan berkenaan berdasarkan draf PITPKB.
PITPKB yang dijangka siap pada 2035 mampu memenuhi keselesaan dengan menampung jumlah penduduk sehingga 77,000 orang membabitkan 17,500 unit kediaman dan pusat komersial.
Shahariah turut menyatakan minat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang sebelum ini pernah mengadakan pertemuan dengannya mengenai isu tanah untuk pembangunan.
Bagaimanapun, tawaran itu ditolak kerana disifatkan terlalu rendah jika dibandingkan dengan lokasi tanahnya di kawasan paling strategik di situ.
``Kalau dinilai dengan harga kira-kira RM400 untuk satu kaki persegi, rasanya tidak boleh jangka ia akan berakhir dengan keputusan positif,'' ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pelan yang dikemukakan PKB adalah cadangan pihak perunding dan PKB sendiri.
``Pemilik tanah tidak perlu risau terhadap pelan yang akan dicadang dan dibentang nanti.
``Tidak ada pihak yang boleh ambil tanah itu. Tidak ada pembangunan atau apa sahaja boleh dilakukan di atas tanah itu kerana penduduk boleh mengemukakan bantahan kepadanya,'' jelasnya.
Johari turut menasihati pemilik tanah untuk berfikiran jauh selain melihat peningkatan nilai tanah di sekitar kawasan mereka sebagai perbandingan.
``Jika mereka rasa RM500 tidak memadai, kita kena lihat ketika mula-mula KLCC dibuat. Tanah di situ dinilai dengan harga RM460 sahaja namun kini menjadi RM3,300,'' ujarnya.
Kampung baru dibuka pada tahun 1900 oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Johari turut menyatakan janjinya untuk membantu masyarakat di kawasannya sedaya mungkin;
``Jangkaan masyarakat kini terlalu tinggi, saya tidak suka membuat janji, kalau rasa boleh diselesaikan, saya akan cuba selesaikan,'' jelasnya.
Berdasarkan perancangan yang digariskan PITPKB 2020, hampir 39 buah projek akan dibangunkan dengan setiap projek menelan kos pembinaan antara RM200juta sehingga RM300 juta.