Berang tak dapat TV, remaja pukul ayah sendiri dengan kayu hoki

Astro Awani
September 16, 2018 17:19 MYT
Seorang lelaki cedera dipukul anaknya dengan kayu hoki dalam kejadian di rumah mereka di sebuah flat di Jalan Permatang Pauh, Pulau Pinang Jumaat lepas. -Gambar hiasan
Hanya kerana melarang anaknya mengambil televisyen, seorang lelaki cedera dipukul anaknya dengan kayu hoki dalam kejadian di rumah mereka di sebuah flat di Jalan Permatang Pauh, Pulau Pinang Jumaat lepas.
Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, mangsa berusia 54 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata suspek yang berusia 19 tahun itu mengamuk sebelum memukul kepala bapanya menggunakan kayu hoki.
Hasil siasatan mendapati suspek yang tinggal berasingan telah pulang ke rumah bapanya untuk mengambil televisyen di situ, namun dihalang oleh mangsa.
Menurut Nik Ros Azhan, berlaku pertengkaran di antara dua beranak itu sebelum suspek berang dan memukul mangsa menggunakan sebatang kayu hoki di belakang badan dan kepala mangsa.
Kejadian disaksikan anak sulung mangsa yang kemudiannya bertindak menghalang perbuatan adik lelakinya itu.
Mangsa yang berlumuran darah kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.
Berikutan kejadian itu, suspek telah ditahan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
#Hospital Seberang Jaya #kayu hoki #larang ambil televisyen #Nik Ros Azhan #Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid #pukul ayah
;