Berang pasang muzik kuat, lelaki kelar leher rakan
Sinar Harian
November 3, 2023 16:37 MYT
November 3, 2023 16:37 MYT
MELAKA: Seorang lelaki warga Myanmar diberkas selepas dipercayai mengelar leher rakannya menggunakan pisau pemotong sayur di sebuah asrama pekerja di Jalan Pantai Puteri, di sini, pada petang Khamis.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, pergaduhan dipercayai berpunca apabila suspek yang berusia 28 tahun dan sedang mabuk berang mangsa berusia 35 tahun memasang muzik dengan kuat.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu disedari penyelia asrama berusia 49 tahun yang mendapati tiga warga Myanmar sedang bergaduh di dalam bilik asrama.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya, penyelia terbabit memaklumkan setiba di lokasi kejadian, dia mendapati mangsa dalam keadaan berdarah dan mengalami luka di leher.
Katanya, penyelia itu terus merampas pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu di tangan suspek.
"Dia kemudian menyuruh pemandu kilang untuk membawa mangsa ke sebuah klinik swasta di Tangga Batu untuk dapatkan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Melaka.
"Polis Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya menahan suspek di asrama berkenaan pada jam 6.50 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Ujarnya, soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku terlibat dalam pergaduhan itu dan dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.
"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata," ujarnya lagi. - Sinar Harian