Berang ditegur, pemandu lori sampah lepaskan tembakan ke arah suami isteri
Bernama
Julai 4, 2014 14:43 MYT
Julai 4, 2014 14:43 MYT
Sepasang suami isteri berdepan situasi menakutkan apabila seorang pemandu lori sampah melepaskan satu das tembakan ke arah mereka selepas berang kerana ditegur memandu dalam keadaan berbahaya.
Dalam kejadian pada kira-kira 3,30 petang semalam di Jalan Kubur, Sungai Rait Bakam di sini, suami isteri itu bernasib baik kerana tembakan itu hanya terkena cermin kereta bahagian pemandu.
Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata suspek dipercayai menggunakan senapang angin buatan sendiri dan menggunakan guli sebagai peluru.
"Polis sedang memburu suspek dan berdasarkan gambaran mangsa, suspek berumur 20-an berambut panjang hingga bahu, bertatu di tangan dan lengan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya berdasarkan laporan polis dibuat pasangan itu pada pukul 5.22 petang semalam, pengadu yang juga suami berumur 35 tahun mendakwa sebelum insiden tembakan berlaku suspek memandu lori dipercayai dalam keadaan mabuk dan laju sehingga hampir melanggar kereta pengadu dan menyebabkan kedua-dua kenderaan terhenti.
Beliau berkata, pengadu menegur sikap suspek yang memandu dalam berbahaya menyebabkan suspek naik berang lalu mengacukan senapang angin ke arah pengadu.
Gan berkata, pengadu cuba menenangkan suspek dan pada masa sama cuba merampas senapang angin menyebabkan berlaku pergelutan.
"Sewaktu berlaku pergelutan isteri pengadu cuba meleraikan keadaan tetapi terkena tumbukan suspek menyebabkan dahi isteri pengadu lebam," katanya.
Menurutnya tatkala pasangan suami itu melarikan diri dari tempat kejadian, pemandu lori telah melepaskan tembakan ka arah mereka dan terkena cermin depan bahagian pemandu dan hanya menyebabkan cermin itu calar.
Gan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa permit yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika disabitkan kesalahan.