Berang ditegur, lelaki pijak perut dan tendang isteri
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 20, 2020 14:20 MYT
Oktober 20, 2020 14:20 MYT
KEPALA BATAS: Seorang isteri bukan sahaja ditumbuk beberapa kali di kepala dan badan malah turut dipijak di perut oleh suaminya yang berang akibat ditegur wanita itu kelmarin.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Taman Mesra, Bagan Lalang, Mak Mandin selepas wanita itu menegur suaminya yang sering membawa bersama anak perempuan mereka yang berusia enam tahun keluar pada waktu malam untuk minum minuman keras.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, suspek tidak berpuas hati apabila ditegur hingga menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum dia bertindak memukul isterinya itu.
Noorzainy berkata, suspek juga didakwa menumbuk badan dan kepala serta menolak mangsa hingga terjatuh ke lantai.
"Lelaki itu turut memijak perut dan menendang isterinya beberapa kali selain mencekik dan mengugut mahu membunuh isterinya.
"Anak perempuan mangsa berusia 13 tahun yang menyaksikan kejadian itu datang untuk membantu ibunya, namun telah ditampar oleh bapanya sebelum salah seorang adiknya keluar pergi meminta tolong daripada jiran" kata Noorzainy dalam kenyataan pada Selasa.
Jiran mangsa datang ke rumah bagi membantu meleraikan pergaduhan itu manakala suspek bertindak meninggalkan rumahnya.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Siasatan polis mendapati pasangan tersebut sudah berkahwin selama 13 tahun.
Mangsa mendakwa sering dipukul oleh suaminya sejak kebelakangan ini sekiranya berlaku perselisihan faham antara mereka..
Menurut Noorzainy pihaknya tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian dan suspek dipercayai hanya menggunakan tangan serta kaki untuk memukul isterinya.
"Polis kemudian menahan suami mangsa semalam untuk siasatan dan ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah" katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
#lelaki pijat
#tendang perut isteri
#berang ditegur
#suami
#isteri
#Anak perempuan
#Mak Mandin
#Taman Mesra
#Bagan Lalang
#Butterworth