Beralih kepada teknologi mesin berbanding pekerja asing - Yahaya

Wan Syamsul Amly
April 19, 2016 16:57 MYT
YAHAYA: Pekerja asing juga akan menikmati pelbagai bentuk subsidi dan kemudahan yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia sendiri.
Kerajaan perlu mencontohi negara-negara maju seperti Jepun, Jerman, Korea Selatan dan Amerika Syarikat dengan beralih kepada teknologi mesin bagi menggantikan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.
Senator Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, ia sekali gus penyelesaian isu kehadiran pekerja asing yang selama ini menyumbang kepada masalah pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan.
"Isunya kehadiran sebegitu ramai pekerja asing telah mencetuskan perasaan bimbang dalam kalangan rakyat, kerana bukan sahaja akan menjejas peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan, malah mereka ini mampu menguasai ekonomi sekiranya terus diberi peluang.
"Selain itu, mereka juga akan menikmati pelbagai bentuk subsidi dan kemudahan yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia sendiri," ujarnya.
Tambah Yahaya, akhirnya kerajaan akan berdepan dengan pelbagai masalah yang dibawa oleh pekerja rakyat asing tersebut hingga mereka akan menikmati kelebihan ekonomi dan sosial yang sepatutnya dinikmati oleh warganegara tempatan.
"Bukan setakat itu, malah apabila telah lama berada di Malaysia, mereka ini akan mula membuat pelbagai karenah dan onar dengan menuntut hak politik, ekonomi dan sosial," katanya ketika dalam perbahasan titah ucapan Yang DiPertuan Agong pada Meyuarat Pertama 2016 Penggal Pertama di Dewan Negara di sini hari ini.
Mengikut statistik yang diberi Kementerian Sumber Manusia, terdapat 400,000 pengangur di negara ini.
"Pastinya mereka memerlukan pembelaan. Sikap sesetengah majikan yang lebih mengutamakan pengambilan pekerja asing berbanding pekerja tempatan, telah menyebabkan mengapa masalah ini tidak dapat diselesaikan.
"Keadaan bertambah rumit lagi, apabila pekerja tempatan mempunyai sikap yang suka memilih pekerjaan dan menuntut gaji yang lebih tinggi disebabkan desakan kos sara hidup yang semakin meningkat. Jadi siapa yang hendak disalahkan?" soalnya.
Keselamatan negara
Dalam pada itu jelas Yahaya, isu lambakan pekerja asing juga menggangu gugat tahap keselamatan dan ketenteraman awam negara.
Tambahnya, Bajet 2016 telah menambah baik gaji minimum yang dinikmati oleh pekerja swasta daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan bagi pekerja di Semenanjung, manakala di Sabah, Sarawak dan WP Labuan dinaikkan kepada RM920.
"Ini bermaksud pekerja asing turut menikmati gaji minimum kadar baharu yang ditetapkan oleh kerajaan. Namun pada hakikatnya pekerja asing dalam sesetengah sektor seperti di dalam sektor pembinaan, gaji yang diterima mereka lebih tinggi dari gaji minima yang diterima oleh pekerja tempatan.
"Sebelum ini diberitakan kerajaan Indonesia telah memohon kepada kerajaan Malaysia supaya menaikkan gaji minima pembantu rumah dari negara tersebut kepada RM1,200.
"Jadi adakah setimpal jika pembantu rumah Indonesia diberi gaji melebihi daripada gaji minima yang diterima oleh pekerja tempatan?" tegasnya.
Bagaimanapun Yahaya tidak menafikan pengambilan pekerja asing amat penting untuk membangun dan mengembang ekonomi negara, namun proses pengambilan itu perlu diurus dan diawasi dengan baik agar rakyat sendiri tidak diabaikan.
#Dewan Negara #hak ekonomi #pekerja asing #pekerja tempatan #sosial #Yahaya Mat Ghani
;