Bentuk pasukan pemantau virus Zika di setiap sekolah - Mahdzir

Bernama
September 4, 2016 17:03 MYT
Mahdzir berkata, ibu bapa juga diminta untuk memantau perkembangan kesihatan anak-anak mereka.
Kementerian Pendidikan meminta pejabat npendidikan daerah, pengetua, guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah agar membentuk pasukan pemantau bagi meninjau kesihatan dan mengambil langkah pencegahan mengawal penularan virus Zika.
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pasukan pemantau itu perlu dibentuk sebagai langkah proaktif memantau kesihatan guru dan pelajar selain menjaga kebersihan sekolah bagi mencegah virus Zika.
"Ibu bapa juga diminta untuk memantau perkembangan kesihatan anak-anak mereka.
"Jika anak-anak mengalami simptom virus Zika, bertindak segera dengan merujuk ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Penampang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Bahagian UMNO Penampang Datuk John Ambrose dan ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional Penampang.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diteruskan mengikut jadual dan kementerian akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan semua berada dalam keadaan baik.
Pada Khamis, Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila seorang wanita dari Klang, disahkan positif dijangkiti virus itu, selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan kes virus Zika tempatan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun berbangsa Dusun dari Likas, Sabah.
Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat komplikasi masalah jantung yang dihadapinya.
#badan pemantau #jangkitan Zika #Mahdzir Khalid #sekolah #virus Zika
;