Benteng PLSB Sungai Golok pecah
Sinar Harian
Disember 27, 2023 12:55 MYT
Disember 27, 2023 12:55 MYT
RANTAU PANJANG: Benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Lanchang di sini, pecah akibat arus deras pada Selasa.
Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah berkata, benteng pecah tersebut melibatkan sepanjang kira-kira 50 meter.
Katanya, pihak JPS mengesahkan perkara itu namun belum dapat ke lokasi kerana keadaan berbahaya.
“Kami menerima maklumat benteng PLSB pecah pagi semalam.
“Dianggarkan benteng pecah sepanjang 50 meter, namun belum dapat dipastikan kerana kami tidak dapat pergi ke kawasan tersebut akibat arus deras,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.
Menurut beliau, benteng itu mempunyai ketinggian lebih 10 meter (m), manakala air Sungai Golok pada hari berkenaan mencecah 11.03 m.
“Benteng yang pecah ini boleh jadi makin luas kerana sungai melimpah,” ujar beliau. - Sinar Harian