Sebahagian benteng Empangan Paya Peda di Besut yang masih dalam pembinaan terpaksa dipecahkan untuk melepaskan takungan air demi keselamatan penduduk kawasan sekitar.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata meskipun tindakan itu menyebabkan kawasan sekitarnya dilandar banjir, namun ia terpaksa dilakukan demi mengurangkan risiko tekanan pada kandungan air berlebihan di empangan.

Katanya langkah itu dibuat untuk membolehkan air daripada empangan berkenaan dialir keluar secara terancang.

Berikutan tindakan memecahkan benteng empangan itu, banjir melanda daerah Besut dengan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan setakat ini, ke pusat pemindahan banjir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) ke-33 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu Selasa.