Benjamin Angki, kisah jiran setia si Batang Rejang Sarawak

Tan Su Lin
Mei 4, 2016 10:00 MYT
Melihat kemajuan yang dikecapi selama ini, bagi Benjamin hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang dapat membawa pembangunan ke kawasan itu. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
Bagi Benjamin Angki, 61, di sinilah tempat dia membesar dan menjadi saksi kepada setiap perubahan yang berlaku di pekan kecil Kanowit di Sarawak berjirankan sungai tersohor Bumi Kenyalang, si Batang Rejang.
Apa yang pasti "mundur" bukanlah perkataan yang tepat bagi mengambarkan kampung halamannya itu, malah ungkapan itu jauh tersasar bagi warga setia pekan ini.
"Kanowit adalah rumah. Ia adalah tempat dimana saya membesar, ia tempat dimana saya melihat apa yang telah berlaku dan apa yang sedang berlaku sekarang. Yang pasti banyak yang telah berubah.
"Dahulunya, tidak ada satu kereta pun di Kanowit, sekarang anda dapat lihat ratusan kenderaan pada satu-satu masa. Kalau anda turun ke pekan pada waktu pagi, anda akan dapati ia begitu sesak sehingga kadang-kala tidak ada tempat untuk meletak kereta. Ini menunjukkan banyak kemajuan yang telah masuk ke sini," katanya yang juga merupakan tuai rumah (ketua rumah) bagi Rumah Panjang Benjamin Angki di sini.
Secara tradisinya, ekonomi utama penduduk di rumah panjang ini adalah pertanian.
Namun dengan akses kepada pendidikan, ramai yang telah berjaya sehingga melanjutkan pengajian tinggi. Malah Benjamin sendiri merupakan seorang graduan dari universiti Amerika Syarikat, barang kali antara tuai rumah yang paling berpendidikan.
"Ketika zaman saya muda dahulu, pekerjaan utama mereka yang tinggal di rumah panjang adalah petani, penoreh getah, tanam lada. Itu sahaja kerja yang mereka boleh lakukan. Namun disebabkan lebih ramai yang mendapat pengajian, mereka mendapat peluang pekerjaan lebih baik seperti guru, jurutera, kakitangan kerajaan malah ada juga menjadi doktor. Saya rasa ada beberapa doktor yang berasal dari daerah Kanowit," katanya.
Melihat kemajuan yang dikecapi selama ini, bagi Benjamin hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang dapat membawa pembangunan ke kawasan itu.
"Apabila saya melihat apa yang telah BN lakukan di kawasan kami serta pembangunan yang telah dibawanya, saya rasa agak sukar untuk tidak membalas jasa mereka. Inilah masa untuk membantu mereka, calon yang mewakili BN, iaitu kerajaan memerintah kerana mereka telah banyak membantu masyarakat di sini," katanya.
Biarpun begitu, masih terdapat kawasan pedalaman di Kanowit yang belum dapat dihubungkan melalui kemudahan jalan.
Namun di pekan, kata Benjamin kebanyakan kemudahan asas sudah sampai ke kawasan itu.
"Jika bandingkan Kanowit dahulu dan sekarang, Kanowit telah banyak membangun. Kita sekarang mempunyai jalan raya, kemudahan telekomunikasi, eletrik dan hospital yang bagus. Cuma kalau boleh kemudahan itu diperbaiki sedikit. Itu sahaja."
Dengan siapnya pembinaan jalan bagi menghubungkan Kapit dan Kanowit nanti, beliau melihat ia bakal merancakkan lagi sosioekonomi penduduk di kawasan majoriti Iban itu.
"Apabila jalan antara Kapit dan Kanowit siap nanti, iaitu dijangka pertengahan tahun 2017, ia dapat menghubungkan penduduk dari pelbagai kawasan iaitu Ngemah, Poi, Song serta Kapit dan secara semulajadinya tempat ini akan menjadi lebih berkembang," katanya.

*Tan Su Lin adalah wartawan Astro AWANI yang kini dalam tugasan membuat liputan PRN Sarawak. Untuk kisah-kisah menarik seperti kisah tuai rumai Benjamin Angki ini dan liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com
#Batang Rejang #Benjamin Angki #pilihan raya Sarawak #PRN Sarawak #sarawak2016
;