Bengkel vokasional CPJ beri peluang pekerjaan, latih hasilkan kraf tangan

Bernama
Disember 20, 2022 12:34 MYT
Penyelia Bengkel Vokasional CPJ Halimah Mohd Sohod berkata setakat ini sebanyak 16 OKU cerebral palsy berusia 22 tahun ke atas di sekitar bandar raya ini, bekerja di bengkel yang dikendalikan Persatuan Cerebral Palsy Johor.- Foto FB PCPJ
JOHOR BAHRU: Bengkel Vokasional Cerebral Palsy Johor (CPJ) di sini, membantu golongan orang kurang upaya (OKU) menjana pendapatan dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka selain melatih kemahiran menghasilkan produk kraf tangan.
Abdul Rahman Mohd Arshad, 42, antara 16 OKU cerebral palsy yang bekerja di bengkel itu berkata, dengan kemahiran dan pengalaman lebih 20 tahun di situ telah membuatkannya mahir menghasilkan alas kaki anyaman fabrik dan mampu membuat kira-kira 14 alas kaki dalam tempoh sebulan.
Dengan kemahiran dimiliki, anak kedua dari tiga beradik yang mengalami kesukaran untuk berjalan kerana mudah merasa penat berhasrat untuk menjalankan perniagaan sendiri.
"Hendak buat alas kaki anyaman ini bukan senang kerana perlukan kesabaran dan tumpuan, dalam seminggu dua atau tiga alas kaki saya mampu buat dan pernah sebulan kira-kira 14 alas kaki.
"Untuk jual sendiri pemasaran kurang pandai dan di mana hendak dapat bahan, tetapi ada juga simpan hasrat (buka perniagaan)," katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.
S.Philomina, 34, yang telah bekerja di situ sejak tujuh tahun lepas berkata bengkel itu telah membuka ruang untuknya mempelajari ilmu dan pengalaman baharu selain membantunya untuk lebih berdikari.
"Saya dapat banyak ilmu baharu, dapat belajar buat kraf tangan, tahu cara tanam cendawan dan sebagainya. Ada juga teringin buka perniagaan seperti kraf tangan sendiri, harapan saya agar impian saya itu tercapai satu hari nanti," katanya.
Sementara itu, Penyelia Bengkel Vokasional CPJ Halimah Mohd Sohod berkata setakat ini sebanyak 16 OKU cerebral palsy berusia 22 tahun ke atas di sekitar bandar raya ini, bekerja di bengkel yang dikendalikan Persatuan Cerebral Palsy Johor.
Beliau berkata mereka menghasilkan pelbagai produk kraf tangan seperti alas kaki anyaman, beg diperbuat daripada bahan kitar semula, tasbih, penanda buku dan terbaru ialah projek tanaman cendawan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
"Kebanyakan mereka dapat pendidikan di Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy Johor dan apabila mencapai usia 20 tahun ke atas, mereka diterima masuk ke sini (bengkel) berdasarkan kemahiran dan kebolehan mereka untuk bekerja.
"Mereka di sini dipanggil perantis dan bekerja mengikut kemahiran dan minat masing-masing serta diberi elaun dari persatuan selain mendapat elaun pekerja cacat (EPC)," katanya.
Beliau yang telah berkhidmat selama 32 tahun di bengkel itu berkata mereka bagaimanapun perlu menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan terlebih dahulu dan diterima masuk setelah menguasai kemahiran dipelajari.
Halimah berkata kesemua mereka menunjukkan semangat untuk bekerja, meskipun masing-masing mempunyai batasan tersendiri dan ada kalanya memerlukan bantuan.
"Kebanyakan mereka berdikari, kita hanya memantau sahaja apabila diberi kerja, kalau hendak kata mereka boleh bekerja sendiri, mereka masih memerlukan bantuan.
"Macam menganyam buat alas kaki memang mereka pakar, tetapi kalau untuk menggunting kain itu susah sedikit. Kerana kesukaran tangan, dan hanya dua atau tiga orang sahaja yang boleh menggunting kain," katanya.
-- BERNAMA
#OKU #Bengkel Vokasional Cerebral Palsy Johor #pendidikan #kraftangan
;