Bengkel tenun songket baharu buat penghuni Penjara Puncak Borneo
Astro Awani
September 14, 2020 14:10 MYT
September 14, 2020 14:10 MYT
Sebuah bengkel tenun songket baharu khas buat penghuni penjara Puncak Borneo akan dibangunkan di Kuching bermula hujung tahun ini.
Bengkel tenunan yang bakal dibina di tapak seluas satu hektar itu adalah merupakan kerjasama di antara kerajaan negeri Sarawak bersama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) di bawah projek Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE).
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Dr Sabariah Putit, pada peringkat awal bengkel tenun songket tersebut hanya 10 unit tenun dibekalkan kepada 13 penghuni penjara Puncak Borneo.
“Apa yang diharapkan nanti, rumah-rumah tenun ini nanti akan dapat menghasilkan keluaran songket dalam kuantiti yang banyak.
“Ini sekali gus membuka peluang buat penghuni penjara untuk mengaplikasikan kemahiran mereka dan pada masa sama membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri selepas habis menjalani hukuman,” katanya.
Tambah Sabariah, kemahiran dan bakat penghuni penjara Puncak Borneo amat mengagumkan apabila mereka berjaya menghasilkan songket sepanjang 2.5 meter dalam tempoh kurang sebulan.
Sementara itu, Pengarah Pengurusan Banduan Jabaran Penjara Malaysia, Ajidin Salleh, menyifatkan projek program berkenaan berjaya dan berkembang positif.
Songket yang dihasilkan akan diperagakan pada Malam Gala Tenun dan Songket Penjara di Kuala Lumpur pada 27 Oktober depan sebagai usaha menzahirkan penghargaan kepada mereka.
“Kita akan mengadakan malam Gala Tenun dan Songket Penjara di bawah naungan Permaisuri Agong dan memperagakan hasil songket sulung khas dari Bumi Kenyalang.
“Saya difahamkan, setakat ini ada 42 helai hasil tenunan songket Sarawak,” katanya ketika ditemu bual.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan songket kepada penaung Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak di Hotel Waterfront pada Ahad.
Turut hadir, penaung projek yang juga isteri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Datu Dr Sabariah Putit
#Penjara Puncak Borneo
#Songket Sarawak
#Songket Warisan
#Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri
#Warisan Old Kuching Smart Heritage OKSHE