Bengkel motosikal tawar tayar Rahmah RM5
Bernama
Mac 26, 2023 22:59 MYT
Mac 26, 2023 22:59 MYT
KUALA LUMPUR: Dengan niat untuk meringankan beban pengguna, terutama golongan B40, sebuah bengkel motosikal di Kajang, Selangor baru-baru ini telah menawarkan jualan tayar motosikal pada harga Rahmah RM5.
Inisiatif oleh Bengkel Dania Garage, bengkel motosikal milik bumiputera yang berpusat di Sungai Chua, Kajang itu dinamakan Program Amal Tayar Rahmah, dan ia mula ditawarkan pada 20 Mac lepas.
Menurut pemilik bengkel Mohd Mustakim Mohd Munawir, inisiatif itu dianjurkan dengan niat memberi sumbangan, sebagai penghargaan kepada pelanggan bengkelnya.
"Jadi sempena bulan Ramadan ini juga saya menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah, juga dengan tujuan untuk membantu meringankan beban pemilik motosikal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya memperuntukkan 1,000 unit tayar untuk dibeli oleh pemilik motosikal pada harga RM5 seunit berbanding harga sebenar tayar itu iaitu RM60 seunit.
Bengkel yang popular di media sosial khususnya TikTok dengan pengikut lebih 506,000 orang itu mula beroperasi pada 2016 dan kini mempunyai tiga cawangan iaitu dua di Kajang dan satu di Serdang.
-- BERNAMA