Bengkel motosikal kebakaran, pemilik rugi lebih RM100,000

Adie Sufian Zulkefli
Januari 9, 2022 17:57 MYT
Anggota bomba memadamkan kebakaran bengkel membaiki motosikal dan sebuah kedai menjual alatan telefon di di Pekan Tok Jalai, dekat Jitra, pada Ahad. - Gambar Astro AWANI
JITRA: Seorang pengusaha mengalami kerugian lebih RM100,000 dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan bengkel membaiki motosikalnya dan sebuah kedai menjual alatan telefon di di Pekan Tok Jalai, dekat Jitra, pada Ahad.
Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, mangsa yang juga pemilik bengkel, Tan Si Bong, 60, sedang membaiki motosikal sebelum diberitahu oleh seorang pelanggan terdapat percikan api di bahagian atas bengkel sebelum api marak.
Ekoran itu, Si Bong hanya sempat mencapai tangan ibunya berusia lebih 80 tahun yang berada di dalam bengkel sebelum dua beranak itu berlari keluar menyelamatkan diri.
Jelasnya, api marak terlalu cepat, sehinggakan dia tidak sempat menyelamatkan motosikal yang berada di dalam bengkel.
Sebaliknya, hanya lima buah motosikal yang berada di luar bengkel sempat diselamatkan manakala lebih 20 buah motosikal dihantar pelanggannya untuk dibaiki hangus terbakar.
“Hanya ini sahaja yang sempat saya selamatkan, api terlalu kuat (marak), semua orang jerit pada saya cepat keluar selamatkan diri,” kata Si Bong.
Si Bong memaklumkan, ini pertama kali berlaku kebakaran sejak dia membuka bengkel itu sekitar 43 tahun lalu.
Dia juga tidak mampu menahan kesedihan melihat segala usaha dan kerja kerasnya selama ini musnah sekelip mata.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, sebaik menerima panggilan, sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba api sedang marak membakar bengkel motosikal dan kedai telefon.
Api berjaya dipadamkan kira-kira jam 10.44 pagi.
Mohd Bustan memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun pemilik bengkel motosikal itu kemudiannya di hantar ke Hospital Jitra selepas terkena serangan jantung.
Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
#bengkel motosikal #kebakaran #Pekan Tok Jalai #Jitra
;