Bengkel khas tangani isu projek Lebuhraya Pan Borneo
Bernama
Januari 27, 2018 20:17 MYT
Januari 27, 2018 20:17 MYT
Kementerian Kerja Raya akan mengadakan bengkel khas bagi mencari jalan penyelesaian segera masalah keselamatan serta kualiti jalan raya sedia ada yang rosak akibat pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bengkel tersebut dicadangkan diadakan sama ada pada Selasa atau Rabu depan, dengan tempat serta masa akan ditentukan kemudian berikutan rungutan pengguna jalan raya di Sarawak berkaitan isu tersebut semakin meningkat.
"Bengkel itu akan membincangkan dua perkara iaitu projek penambahbaikan jalan raya dan penyelenggaraan jalan raya sedia ada serta tindakan yang bakal diambil untuk memperbaiki kelemahan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di sini, hari ini.
Bengkel tersebut akan mengumpulkan Rakan Pelaksana Projek (PDP), kontraktor, perunding swasta, jurutera serta Jabatan Kerja Raya (JKR) peringkat persekutuan dan negeri.
Beliau mengakui ada sesetengah kontraktor terlibat dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak telah diberi teguran beberapa kali, namun masih gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Ini termasuk kegagalan mematuhi apa ditetapkan dalam Program Pengurusan Trafik seperti meletakkan halangan, pemantul, lampu tanda bahaya, papan tanda dan sempadan jalan," katanya.
Selain masalah kontraktor, Fadillah berkata isu penyelenggaraan jalan raya sedia ada perlu diberi perhatian segera kerana jalan raya tersebut menggunakan standard R3 manakala untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo menggunakan standard R5.
"Jalan raya standard R3 tidak sesuai digunakan kenderaan berat terutama sekali lori lebih muatan, kalau dibaiki sekali pun akan rosak dua atau tiga hari kemudian akibat kegagalan struktur," katanya.
Menurutnya antara jalan yang dikenal pasti perlu dibaiki segera ialah Jalan Selangau-Tatau berikutan kualiti jalan tersebut yang semakin teruk akibat musim hujan hujung tahun lepas.
Mengenai mesyuarat exco PBB yang berlangsung hampir dua jam, Fadillah yang juga Ketua Pemuda PBB berkata mesyuarat itu membincangkan persiapan menghadapi Konvesyen PBB pada 8 dan 11 Feb serta Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Katanya mesyuarat tersebut turut mencadangkan jawatan Timbalan Ketua Pemuda PBB tidak dipertandingkan sepertimana jawatan Ketua Pemuda PBB pada konvesyen PBB akan datang.
-- BERNAMA