Bengkel kereta mewah terbakar - Bomba

Bernama
November 1, 2023 05:50 MYT
Keadaan di kilang kanopi dan bengkel kereta mewah yang terlibat dalam kebakaran. - Foto Facebook/Rela Chong
KUALA LUMPUR: Sebuah kilang kanopi dan bengkel kereta mewah di Kampung Padang Balang, Sentul di sini musnah dalam kebakaran semalam.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Rizuan Razali berkata panggilan kecemasan diterima pada 10.30 pagi sebelum 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak Selatan, BBP Jinjang, BBP Sentul dan BBP Wangsa Maju dikerah ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi api sedang marak di premis itu, manakala 10 pekerja kilang tersebut berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa.
"Bomba berjaya mengawal api dan memadam kebakaran 15 minit kemudian, dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian pada Rabu.
Sementara itu, anak kepada pemilik kilang kanopi berkenaan, Mohd Arif Mohd Rous, 23, berkata pekerjanya terlihat kepulan asap di bilik pekerja pada 10.20 pagi.
"Ketika kejadian, pekerja sedang bekerja di bilik tersebut, mereka nampak asap lalu lari keluar dari kilang. Kami juga bergegas keluar dan hanya berjaya selamatkan kereta dan lori yang kami gunakan untuk perniagaan. Selain daripada itu, semua barang musnah dijilat api," katanya.
-- BERNAMA
#bengkel kereta mewah #kebakaran #Sentul #badang balang
;