Bengkel barangan lusuh terbakar, tiga lori musnah

Aida Aziz
September 30, 2022 10:40 MYT
Operasi memadam kebakaran bengkel yang terletak di Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan itu, diketuai PPgB Mohd Ismail Mohd Yunus dan tamat pada jam 9.04 pagi ini. - Foto JBPM Perak
TELUK INTAN: Sebuah bengkel simpanan barangan lusuh dan tiga buah lori musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Sultan Abdullah, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu menyebabkan kemusnahan keseluruhan sebanyak 75 peratus.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, bengkel tersebut merupakan sebuah rumah pertubuhan kebajikan warga emas yang tidak lagi digunakan atau dihuni.
Katanya lagi, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.50 pagi.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dibantu BBP Hutan Melintang, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batu 12 dan PBS Teluk Intan bergegas ke lokasi.
"Rumah yang dijadikan bengkel simpanan barangan lusuh itu jenis kelas C, berkeluasan 60x120 kaki persegi.
"Bagaimanapun insiden itu tidak membabitkan sebarang mangsa atau kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pasukan bomba membuat kerja memadam kebakaran menggunakan tiga aliran 400 kaki empat pancutan, dengan sumber air dari pili bomba berhampiran.
Operasi yang diketuai Ketua BBP Teluk Intan PPgB Mohd Ismail Mohd Yunus itu tamat pada jam 9.04 pagi.
#JBPM Perak #bengkel terbakar #barangan lusuh #lori musnah
;