Bengang bunyi bising ekzos motosikal punca lelaki gaduh guna pisau
Sinar Harian
November 20, 2024 14:30 MYT
November 20, 2024 14:30 MYT
BENTONG: Polis menahan seorang lelaki susulan kejadian pergaduhan di sebuah premis membaiki motosikal di Pekan Karak di sini, Isnin lalu.
Ringkasan AI
- Polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di Karak susulan pergaduhan di sebuah premis membaiki motosikal. Suspek ditahan bersama sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu.
- Pergaduhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap bunyi bising ekzos motosikal. Suspek cuba menyerang pengadu menggunakan pisau, tetapi pergelutan berjaya dileraikan oleh orang awam.
- Suspek ditahan reman sehingga Khamis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan. Suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan negatif dadah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 52 tahun ditahan di rumahnya di Karak pada Selasa.
Menurutnya, susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu.
"Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian jam 10.01 malam daripada pekerja premis bengkel itu.
"Siasatan mendapati, pergaduhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang terganggu dengan bunyi bising ekzos motosikal ditunggang pengadu.
"Susulan itu, tercetus pertengkaran antara dua lelaki itu sebelum berlaku pergelutan," katanya.
Zaiham berkata, suspek dipercayai cuba menyerang pengadu menggunakan sebilah pisau.
"Bagaimanapun pergelutan berjaya dileraikan orang awam yang berada di tempat kejadian," katanya.
Menurutnya, suspek ditahan reman reman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.
"Semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan negatif dadah.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan selesai," katanya.
Zaiham berkata, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian memandangkan kes masih dalam siasatan.
Terdahulu, video kejadian berdurasi tiga minit 28 saat tular selepas ia dimuat naik dan dikongsikan di laman sosial. -Sinar Harian