Bendung Islamofobia, elak saudara Islam terus berdepan diskriminasi - Zambry

Hilmi Malik
Februari 27, 2023 11:10 MYT
Zambry berucap pada Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia di Putrajaya pada Isnin. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Nasib saudara sesama Islam di seluruh dunia akan sukar dipelihara sekiranya sentimen terhadap Islamofobia tidak dibendung sebaiknya.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata, isu hak kebebasan bersuara juga tidak bermakna seseorang individu itu sewenang-wenangnya bebas untuk menghina agama orang lain.
Ujarnya lagi, perbuatan itu juga secara jelas bertentangan dengan prinsip universal menghormati agama.
"Kita perlu mengakui bahawa perbuatan Islamofobia bukan sekadar kebencian atau prejudis terhadap umat Islam. Ia adalah pelanggaran secara terbuka terhadap hak asasi manusia.
"Apabila umat Islam berdepan diskriminasi oleh khalayak yang besar, ia menjejaskan prinsip pluralisme dan kesaksamaan yang dibanggakan oleh masyarakat demokratik," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Forum Antarabangsa mengenai Islam dan Islamofobia di Putrajaya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zambry menyatakan umat Islam seharusnya mempunyai hak untuk menyuarakan pendirian mereka selain tidak perlu berasa takut dan terpaksa berdepan soal diskriminasi.
Tegasnya lagi, perkara itu juga telah termaktub dalam undang-undang antarabangsa yang berada di bawah hak asasi manusia.
"Umat Islam seharusnya berhak menyatakan kepercayaan mereka tanpa perlu takut berdepan diskriminasi, penganiayaan dan intimidasi.
"Selain itu, hak untuk mempunyai kepercayaan dan mengamalkan agama juga termaktub dalam undang-undang antarabangsa sebagai hak asasi manusia," jelasnya.
#Islamofobia #hak kebebasan bersuara #Zambry Abdul Kadir #menghina
;