#BenderaPutih: Talian hayat terakhir buat lima beranak selepas enam bulan ikat perut

Shuhada Abdul Kadir
Julai 2, 2021 05:17 MYT
Menurut Erala, mereka sekeluarga sudah tiga tahun menyewa bilik kecil bersaiz 12 X 10 kaki dengan bayararan RM 350 sebulan. - Gambar Astro AWANI
MELAKA: "Sepanjang 16 tahun, tempoh enam bulan ini adalah yang paling sukar sehinggakan kami lima beranak terpaksa 'ikat perut'," luah Erala Ismail yang buntu memikirkan nasib keluarganya sehingga bertindak menggantungkan bendera putih di kediamannya sebagai talian hayat terakhir.
Menetap di bilik sewa kecil di tengah bandaraya Melaka bersama suami dan tiga anak mereka, wanita berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu berkata, kehidupan keluarganya mula berubah selepas suaminya hilang pekerjaan sejak awal tahun lalu.
Keadaan itu berlaku apabila medan selera di tempat suaminya mencari rezeki dengan gaji harian sebanyak RM35 sehari terpaksa menghentikan operasi perniagaan atas beberapa sebab termasuk faktor pandemik yang sekali gus mengubah nasib mereka sekeluarga.
“Sebelum ini ketika saya dan suami masing-masing bekerja, kami memang akan sentiasa pastikan bekalan makanan di rumah tidak terputus untuk tiga anak kami berusia 10,12 dan 16 tahun.
“Apabila suami hilang kerja, memang saya dengan anak-anak ikat perut. Saya tertekan sangat lebih-lebih lagi hujung bulan macam ini, duit tiada hendak tunggu hari gaji, hanya telur dan ikan bilis selalu menjadi menu kami lima beranak,” katanya ketika ditemui di bilik sewanya di Jalan Munshi Abdullah.
Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan, peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada Isnin.
BACA: PEMULIH: Golongan miskin tegar, B40, M40 dapat Bantuan Khas COVID-19 bermula Ogos - PM
BACA: PEMULIH: Bantuan Bakul Makanan, dana RM300,000 kepada Ahli Parlimen diagih hari ini
BACA SEMUA BERKAITAN PEMULIH di sini
Dalam pada itu Erala menjelaskan, mereka sekeluarga sudah tiga tahun menyewa bilik kecil bersaiz 12 X 10 kaki dengan bayararan RM350 sebulan berikutan tidak mampu menyediakan wang deposit untuk menyewa rumah lain yang lebih selesa.
Katanya, jika sebelum ini dia masih boleh bersabar dengan kesempitan hidup dilaluinya, namun disebabkan suami yang hilang pendapatan dan tiada siapa ingin mengambil pekerja pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini menyebabkan mereka bertindak menggantung bendera putih menggunakan kain serban di luar tingkap.
“Bila tengok di Facebook suami terfikir untuk gantung kain putih, mana tahu ada rezeki. Alhamdulillah ada juga orang nampak kami kibarkan sebab akak tidak tahu apa lagi cara yang boleh buat.
“Bukan kata RM10, malah RM2 pun tiada di dalam poket, memang langsung tiada duit dan barangan makanan pula sudah terputus dan gas memasak yang ada cukup untuk masak air sahaja,” katanya.
Tambahnya, dia turut berharap dapat berpindah ke tempat yang lebih selesa lebih-lebih lagi anak perempuan bongsunya sudah semakin dewasa dan bimbang apabila perlu keluar dari bilik setiap kali ingin ke tandas.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.
Menurut Perdana Menteri, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 billion.
Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
#PKP #COVID-19 #Facebook #warga emas #pandemik #Parlimen #Bendera putih #Erala Ismail #talian hayat terakhir #Program Bantuan Bakul Makanan #PEMULIH