#BenderaPutih: Segera adu masalah kepada pihak berwajib - MB Perak
Aida Aziz
Jun 30, 2021 15:52 MYT
Jun 30, 2021 15:52 MYT
IPOH: Rakyat yang berdepan dengan masalah dan kekurangan makanan diminta segera memaklumkan perkara itu kepada pihak yang bertanggungjawab.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, setakat ini pihaknya telah menggerakkan jentera bantuan di lapangan khusus membantu orang ramai yang memerlukan.
"Jika ada masalah, ada kekurangan makanan mengadu hal kepada yang mengetahuinya supaya kita dapat tolong... Insya-Allah.
"Setakat ini pun di negeri Perak, kita sudah turun padang, penghulu berada di lapangan, wakil rakyat samada Ahli Parlimen atau ADUN berada di lapangan.
"Jadi kita bersedia untuk membantu sekadar yang kita mampu," katanya sebagai mengulas berhubung kempen bendera putih yang digerakkan warganet di media sosial baru-baru ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kes bunuh diri yang semakin membimbangkan di negara ini dipercayai terkesan dengan pandemik COVID-19, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendekatkan diri dengan Tuhan selain sabar menghadapi ujian.
"Yang penting sekarang ini kita hendak mengingatkan kepada semua rakyat Perak khususnya supaya kita kena tenangkan diri, kalau orang Islam kita minta sentiasa berzikir kepada Allah SWT.
"Apa juga kejadian yang sedang berlaku ini adalah merupakan ujian, bukan kita seorang saja yang diuji seluruh umat sedang diuji bukan di Malaysia sahaja tetapi juga di seluruh dunia.
"Ingat kalau kita rasa kita susah ada orang lain jauh lebih susah daripada kita," ujarnya.
Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 menerusi Pakej PEMULIH kepada semua Ahli Parlimen untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan.
Jelas beliau, ia bagi memberi lebih banyak bantuan dihulurkan kepada golongan terjejas menerusi wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
Pengumuman Khas Pakej PEMULIH oleh Perdana Menteri | 28 Jun 2021
#Bendera putih
#rakyat
#masalah
#kekurangan makanan
#Menteri Besar
#Saarani Mohamad
#ADUN
#penghulu
#COVID-19