#benderaputih, kalian boleh sepakat? Tonton Dialog Tiga Penjuru, jam 8.30 malam ini
Israr Khalid
Julai 8, 2021 17:08 MYT
Julai 8, 2021 17:08 MYT
KUALA LUMPUR: Tatkala ahli politik masih terus berkira-kira untuk meletakkan tepi seketika dogma masing-masing dan benar-benar sepakat untuk memulihkan negara yang dibadai pandemik, rakyat semakin hari semakin dihimpit.
Ramai dipotong gaji dan ramai juga yang hilang terus mata pencarian. Pergerakan disekat, perniagaan terhenti, industri terencat. Sudah menghampiri dua tahun keadaan begini, sehingga ada yang terpaksa menggunakan syiling terakhir dari dalam simpanan untuk terus hidup.
Apa lagi cara untuk memastikan meja tetap ada makanan untuk dihidangkan kepada suami, isteri dan anak-anak?
Kepada siapa lagi rakyat perlu berharap?
Akhirnya kita menyedari bahawa hanya kita sahaja yang dapat memastikan kita terus bernafas, maka diseru kepada mereka yang terdesak untuk mengibarkan bendera putih supaya komuniti dapat membantu.
Rakyat Malaysia bukanlah rakyat yang mudah menyerah kalah, dan bendera putih ini sebenarnya bukanlah semata-mata tanda putus asa. Kerana untuk menyerah, seseorang itu harus cukup kuat untuk meruntuhkan egonya.
Namun, cabaran hebat hari ini telah menguatkan rakyat untuk mengabaikan segala tanggapan dan persepsi, dan mengenepikan segala perbezaan yang memisahkan supaya kita dapat terus mengharungi dugaan ini bersama sehingga ke akhirnya.
#benderaputih adalah sebuah gerakan komuniti untuk menamatkan kebergantungan mutlak kepada sistem induk penuh dengan birokrasi pada waktu kritikal ini, dalam memastikan mereka yang kurang bernasib baik tidak lemas dan tenggelam sementara menanti talian hayat tiba.
Begitupun, hakikatnya masyarakat perlu hidup di dalam strukur yang saling memerlukan pemimpin dan yang dipimpin.
Manusia perlu hidup dalam sistem, dan menjadi tugas kita yang terjaga untuk memperbetulkan kepincangan di dalam sistem itu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diperkenalkan kerajaan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM150 bilion.
Melalui pakej itu, PM Muhyiddin turut berkata, suntikan langsung fiskal kerajaan adalah sebanyak RM10 bilion.
Perdana Menteri berkata, PEMULIH bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu 'Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; Menyokong Perniagaan; dan Meningkatkan Vaksinasi'.
Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 menerusi Pakej PEMULIH kepada semua Ahli Parlimen untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan.
Jelas beliau, ia bagi memberi lebih banyak bantuan dihulurkan kepada golongan terjejas menerusi wakil rakyat di kawasan masing-masing. Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
Perbincangan malam ini berkisar #benderaputih dan segala inisiatif cetusan rakyat dapat membantu mencantikkan usaha kerajaan sedia ada dan menjamin sebuah ekosistem yang lebih cekap dan harmoni pada masa mendatang?
Saksikan perbincangannya dalam Dialog Tiga Penjuru bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; dan aktivis #benderaputih, Jamil Kucing.
Malam ini jam 8.30, hanya di Saluran 501 dan astroawani.com dan platform media sosial Astro AWANI.