#BenderaPutih: Bapa tunggal hanya fikirkan perut tiga orang anaknya

Shuhada Abdul Kadir
Julai 1, 2021 19:06 MYT
Yaakob Montel mengakui, dia terpaksa berbuat demikian bagi mendapatkan sedikit bantuan barangan keperluan buat tiga orang anaknya yang berusia antara sembilan hingga 17 tahun. - Gambar Astro AWANI
ALOR GAJAH: Seorang bapa tunggal terpaksa mengenepikan perasaan malu selepas buntu apabila hampir terputus bekalan makanan.
Yaakob Montel, 54, yang menetap di Taman Kebaya, di sini mengakui, dia terpaksa berbuat demikian bagi mendapatkan sedikit bantuan barangan keperluan buat tiga orang anaknya yang berusia antara sembilan hingga 17 tahun.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori bergaji hari mengakui sanggup melakukan apa sahaja termasuk menebalkan muka menggantung bendera putih asalkan tiga anaknya termasuk anak bongsu yang merupakan murid pendidikan khas tidak berlapar atau terpaksa ikat perut.
Katanya, jika dahulu dia mampu meraih pendapatan sehingga RM150 sehari dengan menyewa lori miliknya, namun kini, semuanya terhenti sejak sekatan pergerakan penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan bermula 1 Jun lalu.
Bahkan, kata Yaakob, pada minggu pertama serta kedua tidak bekerja, dia masih mampu menampung belanja dengan duit simpanan.
Bagaimanapun, apabila PKP disambung, bekalan makanan semakin surut dan hanya telur serta mee segera sahaja yang mampu disediakan untuk mengisi perut mereka empat beranak.
“Dalam masa sebulan lalu (keadaan) semakin terkesan (hanya mampu) makan mee segera, telur kicap dan sardin, nak makan lain tak mampu nak beli,” kata Yaakob dalam pertemuan dengan Astro AWANI di kediamannya pada Khamis.
BACA: PEMULIH: Semua Ahli Parlimen terima RM300,000 untuk Bantuan Bakul Makanan - PM
Kata Yaakob, tindakan menggantung bendera putih dilakukannya selepas terbaca perkongsian di laman Facebook mengenai kempen berkenaan sekiranya individu sepertinya terdesak memerlukan bantuan barangan keperluan.
Memandangkan di rumahnya tiada kain putih, Yaakob hanya mampu terfikir baju sekolah lama anaknya yang digantungkan sebelum pelbagai pihak termasuk jiran tampil menghulur bantuan.
Yaakob yang telah berpisah dengan isterinya sejak empat tahun lalu itu mengakui, pada malam sebelum menggantungkan bendera putih itu, dia tidak dapat tidur lena memikirkan makan minum ketiga-tiga anaknya.
“Sebelum tidur, saya fikir sudah tidak mampu nak bagi anak-anak saya makanan. Tidak seperti sebelum ini tidak pernah terjejas (makanan),” katanya berkongsi kesedihan.
Menurut Yaakob, tindakan menggantung bendera putih yang dilakukannya bukan bertujuan untuk meminta- minta, sebaliknya, selepas memikirkan sedalam-dalamnya bahawa keperluan makanan buat anak- anak menjadii keutamaan.
Dalam masa sama, Yaakon berharap orang ramai tidak membuat tomahan atau salah faham dengan tindakan yang dilakukannya itu selain berterima masih kepada pihak yang prihatin dengan keadan dia dan anak-anak.
BACA: PEMULIH: Golongan miskin tegar, B40, M40 dapat Bantuan Khas COVID-19 bermula Ogos - PM
Dalam situasi negara berhadapan pandemik yang mengakibatkan ramai rakyat terjejas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Isnin.
Antara lain, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos, yang memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Pakej PEMULIH | PM umum bantuan komprehensif untuk semua
Selain itu, peruntukan sebanyak RM300,000 juga disalurkan kepada semua Ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat terjejas akibat COVID-19.
Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
#Bendera putih #bapa tunggal #tiga orang anak #Taman Kebaya #Alor Gajah #Melaka #pemandu lori #ikat perut #PKP
;