Bendahari Agung MIC letak jawatan

T K Letchumy Tamboo
Januari 27, 2014 05:41 MYT
Datuk R. Ramanan pada sidang akhbar hari ini
Bendahari Agung MIC, Datuk R. Ramanan hari ini meletakkan jawatan beliau berkuatkuasa serta-merta, sehingga kes mahkamah beliau selesai.
Ramanan berkata beliau telah memfailkan rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang pada Khamis lepas, memerintahkan Ramanan mengembalikan RM5.5 juta kepada pakar psikiatri Tan Sri Dr M. Mahadevan.
Ramanan menerima wang itu secara palsu daripada Kementerian Pertahanan ketika "membantu" pakar psikiatri itu mendapatkan bayaran berkenaan, empat tahun lepas.
"Memandangkan keputusan Mahkamah Tinggi dan bagi kepentingan MIC dan presiden saya Datuk Seri G. Palanivel yang saya sangat sayang, saya meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung MIC sehingga sehingga kes mahkamah saya selesai.
"Saya tidak mahu keputusan Mahkamah Tinggi untuk dieksploitasikan oleh sesiapa. Sekarang pun ia sudah cukup dieksploitasikan.
"Ini adalah kes sivil antara dua individu. Ia bukan satu kes jenayah," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MIC hari ini.
Apabila ditanya sebab kenapa beliau meletakkan jawatannya sedangkan beberapa pemimpin MIC yang lain pernah turut terlibat di dalam kes seumpamanya, Ramanan berkata ia adalah satu perkara yang mulia untuk dilakukan kerana beliau lebih sayangkan MIC, Barisan Nasional ( BN) dan Palanivel .
Ramanan berkata beliau tidak memaklumkan Palanivel tentang keputusannya sebelum membuat pengumuman pada hari ini dan beliau berharap Palanivel akan menerimanya.
“Keputusan ini adalah keputusan saya sendiri. Ia adalah untuk kebaikan parti," katanya.
Ramanan memberi jaminan bahawa walaupun beliau meletakkan jawatannya, beliau akan terus berkhidmat kepada masyarakat India dan orang ramai.
Ramanan menambah bahawa beliau bersedia untuk 'meletakkan' RM5.5 juta ke dalam kedua-dua akaun peguam defendan dan akaun peguam plaintif.
“Ia bukan satu isu wang. Saya memang buat rayuan terhadap keputusan mahkamah tetapi saya akan membayar wang itu," katanya.
Pada Khamis, Ramanan diperintahkan membayar wang tersebut dalam masa 14 hari tetapi berikutan permohonannya, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman, bergantung pada keputusan permohonan itu nanti.
#Bendahari Agung #Datuk R. Ramanan #letak jawatan #MIC