'Benci yang melampau' - Wardina terkesan tragedi solat Jumaat di Christchurch
Siti Hajar Jamaludin
Mac 15, 2019 05:45 MYT
Mac 15, 2019 05:45 MYT
Tragedi yang berlaku di Christchurch, New Zealand melibatkan dua buah masjid sewaktu solat Jumaat semalam sangat menyayat hati segenap lapisan masyarakat terutamanya umat Islam.
Turut berkongsi kesedihan, selebriti terkenal Wardina Safiyyah apabila memuat naik beberapa entri berkaitan kejadian itu di akaun Instagram miliknya.
Menerusi satu entri, beliau melahirkan kesedihan melihat suasana di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood terbabit dan lebih terkesan apabila mendapat tahu suspek yang ditahan adalah warga Australia kerana dia berada di negara itu.
"Saya di Australia amat terkesan dengan kejadian pembunuhan di Christchurch. Benih kebencian usah disemai kerana dari sikap prejudis ia akan bertukar menjadi benci. Benci yang melampau," katanya.
Wardina turut berkongsi suasana hiba ketika beliau menunaikan solat Maghrib di sebuah masjid di Australia pada Jumaat, menerusi satu perkongsian Instagram yang dihias sejambak ros putih.
Usai menunaikan solat, katanya, beliau didekati seorang wanita yang dikenali sebagai Lisa dan mereka saling berkenalan sambil melawat persekitaran masjid.
Beliau sangat tersentuh dengan kata-kata Lisa, yang katanya, walaupun bukan beragama Islam tetapi sangat menghormati dan berminat untuk mendalami agama ini.
Wardina turut menambah tulisan yang menggambarkan kebimbangannya berada di negara berjiran dengan New Zealand.
"NZ ialah jiran kami. Ia sangat dekat dengan kami. Apa yang berlaku sungguh tidak diduga dan sangat mengganggu perasaan.
"Sebagai seorang Muslim di Australia, bayangkan bagaimana perasaan saya setiap kali keluar rumah mulai hari ini?
Pada masa sama, beberapa rakan artis lain, termasuk Yatt Hamzah, turut meluahkan rasa sedih dan mendoakan agar semua umat Islam, khususnya di New Zealand dan Australia, berada dalam keadaan selamat.
#Christchurch
#Instagram
#Jumaat
#Masjid Al-Noor
#Masjid Linwood
#New Zealand
#tembakan
#Wardina Safiyyah