Bencana Kim Kim: Kawasan tercemar sisa kimia dibersihkan

Fareez Azman
Mac 15, 2019 11:13 MYT
Kerja pembersihan sejak malam tadi membawa kepada longgokan tanah dipercayai terkandung bahan kimia. - Gambar Astro AWANI
Selepas lebih seminggu bencana Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor menggemparkan negara, pihak berkuasa sedang berusaha untuk membersihkan pencemaran sisa bahan kimia yang telah menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah ditutup.
Tinjauan Astro Awani di sekitar Kampung Bukit Pulai yang terletak 500 meter dari lokasi utama pencemaran Sungai Kim Kim mendapati kerja kerja pembersihan masih dijalankan.
Kerja pembersihan sejak malam tadi membawa kepada longgokan tanah dipercayai terkandung bahan kimia yang dikorek diletakkan ke dalam guni putih sebelum dilupuskan.
Menurut sumber, kerja-kerja pembersihan dimulakan dengan mengenal pasti tompok bahan kimia sebelum mengorek kawasan tercemar menggunakan Jentolak.
“Kita kesan dahulu kawasan tercemar dan korek kiri dan kanan serta mendapan dalam sungai kim kim. Kemudian kita akan hantar untuk dilupuskan,” kata sumber.
Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Pulai, Zainal Abidin Osman, 55, yang tinggal berhampiran sungai terbabit berkata, pemantauan sejak malam tadi mendapati kerja kerja pembersihan bahan kimia memuaskan hati penduduk.
“Saya bersyukur kerana pembersihan ini dah dibuat. Tapi saya harapkan kerajaan terus pastikan sungai ini bersih daripada bahan tercemar itu,” jelasnya.
Dalam masa sama, Zainal Abidin berkata, terdapat segelintir penduduk kampung telah berpindah sementara selain mengurangkan aktiviti di luar.
Bagi Mohd Raffee Abdullah, 45, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Pencemaran Alam Sekitar (BBPIPA), tindakan proaktif pihak berwajib pembersihan disambut baik.
Di samping itu juga, BBPIPA berharap pihak kerajaan dapat berhubung dengan penduduk dalam memberi penjelasan terkini tahap pencemaran di sekitar kawasan kediaman mereka.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan atas tindakan ini. Di samping itu kami harap kerajaan boleh buat “Townhall” bersama penduduk dan beri maklumat terkini berkenaan pencemaran ini supaya kami tahu apa yang harus lakukan,” ujar beliau lagi.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dalam sidang media menjelaskan bahawa kerja-kerja pembersihan kawasan tercemar di sepanjang Sungai Kim Kim dilakukan oleh tiga kontraktor yang dilantik oleh kerajaan.
Kerja-kerja pembersihan itu, jelas Osman, menelan kos perbelanjaan sebanyak RM6.4 juta.
BACA: Bencana Kim Kim: Senarai bahan kimia berbahaya di Sungai Kim Kim
BACA; Kronologi terkini pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang
#Bencana Kim Kim #Johor #metana #Pasir Gudang #pencemaran bahan kimia #Sungai Kim Kim
;