Bencana kaki Gunung Jerai tinggal kesan besar, penduduk bimbang kepala air berulang

Abd Hadi Che Awang
November 2, 2021 20:12 MYT
Beberapa lokasi peranginan seperti Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar adalah tidak selamat untuk dikunjungi orang ramai susulan kejadian kepala air sebelum ini. - Gambar/ Astro AWANI
YAN: Kejadian kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai meninggalkan kesan besar kepada penduduk yang terjejas kerana melibatkan kerugian akibat kerosakan harta benda, selain trauma emosi yang berpanjangan.
Mana tidaknya, kejadian berkenaan bukan berlaku hanya sekali pada Ogos lalu, sebaliknya semakin kerap, malah banjir kilat kini disifatkan sebagai acara bulanan oleh penduduk.
Tinjauan Astro AWANI di Pekan Yan mendapati kebanyakan penduduk berasa bimbang setiap kali berlaku hujan lebat, dan ada juga antara mereka tidak dapat tidur malam memikirkan nasib buruk yang mungkin melanda.
Cerita Sebalik Berita: Tragedi Kepala Air | Kesan perubahan iklim dan impak kepada penduduk
Suri rumah, Zaiton Abdullah, 67, berkata: "Kalau bunyi guruh, kalau tengok pokok hujan (awan gelap) pun dah takut dah, lagi trauma... trauma sungguh-sungguh.
"Banjir baru-baru ini dua kali naik (air naik), separas pinggang, barang dalam rumah, perabot semua pun habis semua rosak disebab banjir," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pesara, Abdul Wahab Abdullah, 72, berkata: "Semalam risau sangat, hujan lebat. Tengok paras air sungai pun semakin meningkat. Kita penduduk di sini sentiasa takut banjir berulang.
"Kalau banjir, barang-barang yang simpan di bawah tak sempat nak bawa naik... kalau air naik, semua barang tak kira baharu atau lama semua akan rosak, kena buang.
"Sekarang kita lagi risau sebab dapat tahu air pasang besar beberapa hari lagi. Kita terpaksa bersedia dan berwaspada sepanjang masa, kalau jadi macam sebelum ini langsung tak boleh buat apa dah," katanya.
Sementara itu, bagi peniaga, mereka juga menyatakan bahawa kejadian yang berlaku memberi kesan yang besar kepada perniagaan masing-masing.
Ada antara mereka yang terpaksa menutup operasi kedai sekiranya berlaku banjir selain proses membersihkan kawasan kedai atau gerai mengambil masa sehingga empat ke lima hari.
Peniaga, Fauzan Hamid, 60, berkata: "Kedai saya sudah dua kali dinaiki air banjir. Yang pertama memang terkejut sangat sebab tak pernah berlaku. Selepas itu hati sentiasa risau bila hujan lebat.
"Lepas itu sekali lagi jadi... memang traumalah tengok hujan lebat sekarang ini. Bila kena banjir, kedai dan barang-barang rosak. Kedai pun tak boleh buka banyak hari," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob, berkata beberapa siri kejadian kepala air yang berlaku di kawasan kaki Gunung Jerai telah menyebabkan bentuk muka bumi di kawasan terlibat mengalami perubahan ketara.
Tambahnya, pihaknya turut mengesahkan bahawa beberapa lokasi peranginan seperti Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar di sini, tidak selamat untuk dikunjungi orang ramai.
"Saya kira dengan keadaan ini kita pasti tidak akan benarkan orang masuk ke kawasan ini, kerana ia agak membimbangkan dan banyak struktur yang nampak tidak selamat lagi.
"Kereta mungkin tidak sesuai masuk, mungkin masa kita masuk hujan lebat berlaku dan ia akan akibatkan kemusnahan yang lagi teruk," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Air dan Sumber Asli, supaya dapat mempercepatkan pembinaan empangan kecil di tempat berbukit atau Empangan Sabo Fasa Satu di kaki Gunung Jerai dalam usaha mengelakkan kerosakan yang teruk berlaku susulan kejadian kepala air.
#gunung jerai #kepala air #banjir #Yan
;