Bencana Gunung Jerai: JBPM Kedah pergiat operasi bantu mangsa tanah runtuh, banjir kilat
Astro Awani
Ogos 18, 2021 20:09 MYT
Ogos 18, 2021 20:09 MYT
Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih giat dijalankan susulan pihaknya masih menerima panggilan memaklumkan terdapat individu yang terkandas dalam banjir. - Foto Media Sosial
KUALA LUMPUR: Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah masih membuat pencarian di kawasan puncak Gunung Jerai dan beberapa penempatan penduduk yang dilanda banjir kilat di Yan, Kedah petang ini.
Memetik laporan dikeluarkan Pasukan Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah, kerja-kerja mencari dan menyelamat masih giat dijalankan susulan pihaknya masih menerima panggilan memaklumkan terdapat individu yang terkandas dalam banjir.
"PGO Kedah telah mengaktifkan pasukan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Pasukan Khas Bomba (MUST) ke lokasi kejadian bagi membantu operasi tersebut.
"Setakat ini empat orang mangsa yang terkandas di kawasan tanah runtuh di puncak Gunung Jerai dan 15 orang mangsa banjir yang berjaya diselamatkan," memetik laporan itu.
Sejumlah 24 anggota dari tiga balai bomba terlibat dalam operasi kejadian tanah runtuh dan banjir kilat di sekitar Yan yang melibatkan beberapa buah perkampungan dan di kawasan sekitar Merbok, Sungai Petani.
Sebelum ini dilaporkan lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai selain banyak taman perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air yang berlaku kira-kira jam 3 petang tadi.
#JBPM
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#mangsa banjir
#tanah runtuh
#Sungai Petani
#pasukan penyelamat
#Yan
#banjir kilat
#kepala air