Benarkan tambang fleksibel bagi pengguna bas ekspres - SPAD
Hilal Azmi
Disember 26, 2016 15:38 MYT
Disember 26, 2016 15:38 MYT
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa kerajaan untuk membenarkan pengusaha bas memperkenalkan kadar tambang fleksibel bagi pengguna bas ekspres.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kadar tambang yang lebih baik mewujudkan tindak balas rantaian yang lebih sihat yang kemudiannya dapat mengelakkan pemandu bas mengejar perjalanan demi pendapatan lebih.
Beliau berkata, banyak cadangan meminta agar kadar gaji pemandu bas ekspres dinaikkan tetapi kadar tambang masih lagi dikawal oleh kerajaan.
"Kami sudah beritahu pada operator bas ekspres bahawa SPAD tak puas hati dengan mekanisme komisen kerana menggalakkan pemandu kejar perjalanan.
"Untuk menaikkan gaji pemandu bas, kita kena faham bahawa pengusaha bas ekspres ini bukan kerajaan punya.
"Pada pandangan saya, kalau kita kawal tambang dan suruh pengusaha naikkan gaji pemandu, maka mereka akan tutup kedai.
"Operator perlu digalakkan memberi gaji pokok lebih tinggi, namun bagi membolehkan perkara ini dilakukan, kerajaan perlu membenarkan tambang bas ekspres yang lebih fleksibel," katanya pada sidang media Majlis Serahan Sumbangan Kepada Komuniti Rohingya di Sekolah Rohingya Pelangi Kasih
Syed Hamid diminta mengulas dakwaan pemandu bas ekspres terbabit nahas dekat Muar pada Sabtu hanya tidur tiga jam sebelum memulakan pemanduan, sekali gus berkemungkinan keletihan ketika memandu.
Nahas itu mengorbankan 14 orang termasuk pemandu, Zakeer Zubir, 32, dan anaknya yang berusia setahun, Nur Natasya Zahara.