Benarkan ikat jamin tahanan SOSMA antara syor penambahbaikan
Bernama
Ogos 23, 2023 12:32 MYT
Ogos 23, 2023 12:32 MYT
PUTRAJAYA: Peruntukan membenarkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan selesai bagi tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah antara syor utama yang sedang diteliti untuk menambah baik akta itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh ketika ditanya mengenai perkembangan SOSMA berkata, usaha meneliti penambahbaikan SOSMA hampir selesai.
Menurutnya, beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan antaranya Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan ahli keluarga tahanan SOSMA telah diadakan dan syor-syor yang diterima akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
"Syor menjamin (ikat jamin tahanan) adalah isu yang kami sedang teliti sekarang. Pemansuhan (akta) tiada dalam perancangan tetapi kami sedang meneliti penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas menyertai aktiviti brisk walk merdeka anjuran agensi portfolio undang-undang dan reformasi institusi, di sini, hari ini.
Pada masa ini, seseorang yang dituduh di bawah SOSMA tidak boleh dijamin kecuali kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, seorang wanita atau seorang yang sakit atau uzur tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Ramkarpal berkata, kesemua penambahbaikan SOSMA akan dilaksanakan secara berperingkat.
Pada Februari lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan Perpaduan tidak berhasrat memansuhkan akta berkenaan namun akan melaksanakan penambahbaikan.
Menurut Saifuddin Nasution, ia disebabkan PDRM masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Terdahulu dalam ucapannya, Ramkarpal menyeru warga Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) agar terus memperkukuhkan ikatan persaudaraan dan saling menghormati selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan elemen perpaduan.
Sempena Hari Kebangsaan ke-66, BHEUU telah menyusun beberapa aktiviti antaranya majlis mengibarkan Jalur Gemilang, ceramah kemerdekaan dan lawatan ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka.
- BERNAMA