Benarkan aktiviti penyembelihan di pasar basah - CAP
Bernama
Mac 29, 2020 17:57 MYT
Mac 29, 2020 17:57 MYT
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) agar membenarkan aktiviti penyembelihan ayam diteruskan di pasar basah.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata pengguna berhak memilih sama ada ayam yang siap disembelih atau yang disembelih di pasar basah.
"Alasan untuk menghentikan penyembelihan ayam masih tidak cukup kukuh kerana ada cara lain untuk mengatasi masalah sedia ada berbanding mengatakan ia tidak bersih serta isu pembuangan sisa yang tidak sihat," katanya yang merujuk amalan tidak bersih penyembelihan ayam di pasar basah.
Beliau mencadangkan MBPP agar memperkenalkan kemudahan yang membolehkan penjual ayam meneruskan penyembelihan cara tradisional tetapi dengan cara yang lebih bersih.
"Masalah di bahagian jualan runcit ayam yang 'tidak bersih' di pasar basah adalah tidak ketara; ia hanya perlu penyusunan semula sistem tanpa mencipta sesuatu yang baharu," katanya.
Mohideen memberi reaksi berkenaan susulan cadangan MBPP untuk menghapuskan penyembelihan ayam di semua pasar basah di pulau ini apabila pembinaan pusat pengedaran ayam di Batu Lanchang siap sepenuhnya tahun hadapan.
Apabila siap kelak, pusat itu akan mengedar ayam yang siap disembelih kepada 126 penjual ayam di 26 pasar di seluruh Pulau Pinang.
Pada 1 Feb, Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang berkata pembinaan pusat pengedaran itu adalah untuk mengekalkan kebersihan di semua pasar basah di pulau berkenaan.
-- BERNAMA
#CAP
#Majlis Bandaraya Pulau Pinang
#MBPP
#mohideen abdul kader
#penyembelihan ayam
#perintah kawalan pergerakan
#Persatuan Pengguna Pulau Pinang