Benarkah doktor tidak mahu bertugas lama di Sabah?
Radhi Muslim
Oktober 10, 2018 18:18 MYT
Oktober 10, 2018 18:18 MYT
Doktor yang cepat berpindah dan tidak mahu bertugas lama di daerah kecil di Sabah menyebabkan masalah dan memberikan kesan besar kepada masyarakat setempat dan ia masih berlaku sehingga hari ini.
Difahamkan, sebaik sahaja sah jawatan kebiasaannya mereka minta ditukarkan ke negeri asal atau di bandar utama.
Kesannya, ribuan masyarakat pedalaman dan daerah-daerah kecil Sabah terpaksa keluar ke bandar besar untuk mendapatkan rawatan dengan kos perbelanjaan harian serta tempat tinggal yang menelan ratusan hingga ribuan ringgit.
Sementara itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata, pihaknya akan berusaha untuk memastikan Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia memberikan keutamaan untuk melatih pegawai perubatan dan kesihatan dari negeri ini.
"Langkah ini bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan di Sabah seterusnya mengatasi masalah pertukaran pegawai-pegawai ini dalam tempoh perkhidmatan yang sangat singkat di negeri ini," katanya selepas melawat Hospital Beluran di Pekan Beluran, semalam.
Menurut Stephen Wong, pihaknya juga akan berusaha memastikan perkhidmatan kesihatan di negeri adalah pada tahap terbaik dan setanding dengan institusi kesihatan di negeri lain.
Beliau berkata tujuan utama lawatan itu adalah untuk mendapat gambaran lebih jelas berhubung keadaan Hospital Beluran.
"Selain itu, agar memberi peluang di peringkat pengurusan atasan untuk membincangkan permasalahan dan mencari penyelesaian kepada sebarang isu yang menyukarkan pesakit serta orang awam yang berurusan di hospital ini.
"Harapan dan saranan saya agar semua warga kerja kesihatan di hospital ini dapat bekerja dengan penuh dedikasi serta mengamalkan amalan budaya korporat, penyayang, bekerja berpasukan dan menerapkan nilai-nilai murni demi untuk merealisasikan visi, misi dan objektif Kementerian Kesihatan Malaysia itu sendiri," katanya.