Benarkah beras tempatan kurang di pasaran?

Fareez Azman
September 8, 2023 20:01 MYT
Tinjauan mendapati harga beras import dijual sekitar RM28.00 hingga RM40.00 bagi 10 kilogram. Jika dibandingkan dengan harga beras tempatan lebih murah. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran terus hangat diperkatakan rakyat terutama di sosial media.
Astro AWANI turun ke lapangan bagi melihat sendiri sama ada benar dakwaan kurangnya beras tempatan berbanding beras import.
Sukar temui beras tempatan
Penulis ke beberapa kedai runcit di ibu negara mendapati beras tempatan sukar untuk ditemui berbanding beras Super Import (SI).
Menurut seorang pemilik kedai runcit yang tidak ingin dikenali, dia mendakwa keadaan itu sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
"Betul, beras import kita jual, tapi stok tak banyak. Kami pesan 100 kampit beras, cuma sampai di kedai 40 kampit beras sahaja," katanya secara ringkas kepada penulis.
Kenaikan harga beras import
Pemerhatian mendapati pelbagai jenama beras SI yang dijual turut mengalami kenaikan harga.
"Harga naik, tiga hari lepas RM36, hari ini naik RM39.50. Dalam tempoh enam bulan ada sahaja kenaikan," katanya lagi.
Penulis kemudian ke beberapa kedai di Taman Medan pula bagi melihat sama ada situasi sama berlaku. Hanya beras import sahaja ditemui, tiada beras tempatan dijual.
Bagi pemilik kedai ini yang hanya ingin dikenali sebagai Adib mendakwa kurangnya permintaan pengguna membuatkan mereka memberhentikan pembelian beras tempatan.
"Saya dah lama tak beli beras SST (Super Spesial Tempatan) sebab sebelum ini tak terjual. Kita ada cuma beras import, tapi itu pun dah kurang (stok).
"Dulu ada jual (beras tempatan), tapi sampai keluar kutu sebab tak laku. Jadi kita tak beli lagi," kata Adib lagi kepada penulis.
Tinjauan mendapati harga beras import dijual sekitar RM28 hingga RM40 bagi 10 kilogram. Jika dibandingkan, harga beras tempatan lebih murah sekitar RM26.
Peniaga terkesan
Apa pula kesannya kepada peniaga makanan yang berasaskan nasi jika beras tempatan sukar ditemui di pasaran?
Penulis mendekati beberapa peniaga. Bagi peniaga nasi ayam Rahmah Abd Rahman, 58, kenaikan harga beras memberi kesan besar kepadanya.
"Ya, mak cik risau, mula-mula hari itu pergi beli barang tengok harga lagi naik, mak cik nak niaga lagi pening.
"Takkan mak cik nak naikkan harga (nasi ayam), kena jual macam ini juga (harga asal). Kekuatan pembeli pun dah kurang," jelas Rahmah.
Tambah Rahmah, jualan nasi ayamnya juga semakin berkurangan ekoran situasi ekonomi yang dihadapi rakyat ketika ini.
"Harga beras lebih RM48, naik dalam lebih RM3 juga. Tak semua kedai sama (jual harga sama), ada kedai berbeza harga tapi semua naik harga.
"Harga (nasi ayam) kena sama tak boleh naik lebih RM7, nanti kita terkesan sebab mahal sangat," ujarnya.
Jika situasi berterusan, Rahmah tidak menolak ramai peniaga di kaki jalan akan gulung tikar.
Hanya tawakal teruskan perniagaan
Peniaga nasi kerabu Zuhasniza Zainudin, 29, berkongsi keadaan sama apabila kekurangan bekalan beras tempatan memaksanya bertukar kepada beras import.
"Rasa terkesan sebab baru minggu lepas tak naik, tapi perlahan-lahan harga naik.
"Orang ramai banyak cakap beras naik, tapi tak boleh buat apa sebab makan harian, terpaksa lah.
"Harga naik RM2 sampai RM3... terkesan juga," katanya.
Harga naik mendadak
Kami turut mendekati pengusaha restoran nasi berlauk Siti Fatimah Basrius, 43, yang meluahkan kegusarannya berhubung isu ini.
"Beras naik, daging naik, ayam naik, minyak masak susah nak cari. Kita guna minyak paket, tapi minyak paket susah nak cari, guna minyak botol lagi mahal. Susahlah.
"Tolonglah jangan naik (harga) mendadak terlalu banyak. Kita (peniaga) pun mengejut tak tahu nak buat macam mana lagi. Kalau boleh naik sikit-sikit, ini tiba-tiba naik banyak macam tu.
"Berniaga sekarang tak macam dulu, kadang habis (lauk), kadang tak habis," ujarnya kepada penulis.
Ini luahan peniaga, realiti yang dihadapi mereka yang mengharapkan bekalan beras tempatan kembali pulih.
#tinjauan #beras import #beras tempatan #harga
;