Belut sawah, rezeki musim tengkujuh
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Disember 15, 2021 05:57 MYT
Disember 15, 2021 05:57 MYT
SETIU: Ketibaan musim tengkujuh beri limpahan rezeki buat pencari belut sawah di Kampung Beris Tok Ku, Setiu, Terengganu apabila mereka mampu meraih pendapatan sampingan sehingga RM400 sehari.
Menurut Awang Sulung, 65, yang merupakan nelayan sungai, setiap kali musim tengkujuh, dia tidak dapat turun menangkap ikan namun menjalankan aktiviti menangkap belut bersama menantunya, Wan Zairi Wan Husin, 26.
Katanya, ketika musim tengkujuh, belut lebih ‘galak’ naik ke darat berbanding pada musim biasa dan permintaan terhadap haiwan itu amat tinggi di pasaran.
Jelasnya lagi, dengan menggunakan umpan ikan rebus yang diletakkan di dalam perangkap atau tukir, dia mampu menangkap kira-kira lapan hingga 20 kilogram belut sehari.
"Ada air, adalah ikan belut ini. Ketika musim tengkujuh, banyaklah ikan belut," katanya.
Menurut Wan Zairi, harga ikan belut hidup atau sejuk beku yang ditawarkan adalah berbeza dan permintaan terhadap yang hidup lebih tinggi berikutan ia boleh disimpan dalam tempoh yang lama.
"Harga ikan belut hidup dalam RM18 sekilo, kalau sejuk beku kira-kira RM9 hingga RM10 sekilogram.
"Ikan belut ini boleh hidup dalam empat hari selepas ditangkap dan boleh disimpan dalam tong sehingga dua bulan," katanya.
Berdasarkan ramalan cuaca semasa menunjukkan cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak dijangka menghampiri perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula Rabu.
Terengganu sekali lagi berkemungkinan berdepan dengan episod gelombang banjir berikutan risiko limpahan air laut dan hujan sehingga Khamis ini.