Belut liar laris tidak sampai 20 minit ketika musim tengkujuh

Sinar Harian
Disember 12, 2022 12:27 MYT
Norie Rafida menjual belut kepada pelanggan di Jalan Pasir Mas - Rantau Panjang pada Ahad. -Foto Sinar Harian
RANTAU PANJANG: Belut liar sebanyak 5.5 kilogram yang dijual seorang peniaga di sini, laris dalam tempoh tidak sampai 20 minit.
Belut yang dijual pada harga RM30 sekilogram itu dihantar oleh pencari belut di sekitar Rantau Panjang.
Norie Rafida Amran, 23, berkata, belut mendapat permintaan tinggi pada musim tengkujuh.
"Penggemar belut yang mengetahui khasiatnya tidak kisah untuk membeli pada harga RM30 sekilogram kerana agak sukar mendapatkan belut liar," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, ada ketikanya jualan tidak selaris itu dan terpaksa menunggu seharian untuk menjualnya.
Norie Rafida mewarisi perniagaan ibu mentuanya, Khatijah Omar, 59, yang sudah berpengalaman berniaga belut selama 17 tahun di Jalan Pasir Mas Rantau Panjang di sini.
Katanya, penggemar belut juga tahu membezakan keistimewaan antara belut liar dan sangkar.
"Belut liar lebih manis berbanding belut biasa yang berlemak dan tawar," katanya.
Tambahnya, lebih istimewa belut boleh dimasak pelbagai resipi, namun paling popular ialah paprik, sup dan tomyam.
Sementara itu, seorang pelanggan, Arifin Mohamad, 50, membeli belut untuk keluarga yang gemar menikmatinya terutama ketika musim tengkujuh.
"Walaupun harganya dikatakan agak mahal tetapi saya selalu membeli untuk keluarga kerana tahu khasiat serta keistimewaannya," katanya. -Sinar Harian
#belut liar #Norie Rafida Amran #Rantau Panjang #musim tengkujuh
;