'Belum tiba masa bawa orang luar ajar bahasa Inggeris' - Johan Jaaffar
Astro Awani
Jun 18, 2024 17:00 MYT
Jun 18, 2024 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Membawa guru bahasa Inggeris dari luar negara bukan satu penyelesaian dalam memantapkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar di Malaysia.
Sebaliknnya, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menegaskan, kerajaan sepatutnya memperkasakan pengajaran dan pembelajaran serta latihan terhadap guru bahasa Inggeris tempatan.
Justeru beliau mencadangkan, kurikulum bahasa Inggeris dikaji semula dalam memastikan proses pembelajaran menjadi menyeronokan dan berkesan.
"Saya cadangkan agar guru-guru bahasa Inggeris dilatih semula dan kurikulum ini (bahasa Inggeris) dikaji semula untuk memastikan pembelajaran jadi lebih seronok dan berkesan.
"Saya tidak setuju dengan cadangan membawa guru dari luar negara untuk mengajar bahasa Inggeris buat masa ini.
"Saya pernah menjadi ahli National Brains Trust di National Education pada 2003. Kami dimaklumkan silibus bahasa Inggeris diajar di sekolah kebangsaan adalah berjumlah 1,666 jam dari Darjah Satu hingga Tingkatan Lima.
"Namun sukar untuk terima hakikat bahawa setelah lebih sedekad belajar di sekolah, pelajar masih tidak dapat menguasai apatah lagi membina ayat yang mudah dalam bahasa Inggeris," katanya di sini, hari ini.
Johan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad memberitahu, beliau belajar bahasa Inggeris dalam cara yang sukar tapi menyeronoknya.
"Kami sentiasa dingatkan untuk menggunakan tatabahasa yang betul dalam komunikasi seharian," katanya.
Baru-baru ini, selepas pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, Perdana Menteri memberitahu, Malaysia bercadang untuk mewujudkan skim bantuan untuk menghantar sukarelawan dari negara itu untuk mengajar bahasa Inggeris di kawasan miskin bandar serta pedalaman Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang berkata Malaysia mempunyai ramai guru yang berkemampuan mengajar bahasa Inggeris.
Bekas menteri, Rafidah Aziz pula berkata kerajaan harus mengambil semula guru bersara untuk mengajar bahasa Inggeris kerana gaji guru dari Singapura terlalu mahal disebabkan kadar tukaran mata wang.