Belum sempat 'jamah' dadah, tujuh lelaki diberkas di Langkawi
Adie Sufian Zulkefli
Jun 13, 2020 11:00 MYT
Jun 13, 2020 11:00 MYT
Tujuh lelaki ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah Flat di Taman Dahlia dekat Kuah, Langkawi sebelum sempat 'menikmati' dadah yang baru diperoleh.
Serbuan oleh pasukan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi itu dilakukan ketika sejumlah umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, ketika serbuan, ketujuh-tujuh lelaki itu sedang cuba menikmati dadah yang baru diperoleh mereka.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui tiga paket plastik dadah dan tiga keratan straw lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 2.9 gram.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui empat paket plastik berserta 24 keratan straw lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 16.31 gram yang diletakkan di dalam sebuah beg berzip berwarna hijau bertulisan yesterday’s tomorrow.
Kesemua suspek berusia 22 sehingga 41 tahun kemudiannya di bawa ke IPD Langkawi untuk tindakan lanjut.
Hasil ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis morfin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952. Kesemua suspek telah direman bermula Sabtu untuk membantu siasatan.
Jelas Mohd Iqbal, pihaknya kini sedang giat mencari seorang pembekal dadah yang dipanggil ‘Din’ untuk siasatan.