Belum selesai tempoh selepas dos vaksin kedua, dua wanita diarah patah balik dari Langkawi
September 20, 2021 15:46 MYT
Dua wanita diarah berpatah balik selepas cuba memasuki Langkawi tanpa selesai tempoh selepas dos vaksin COVID-19 kedua.
Cubaan dua wanita terbabit memasuki Langkawi dikesan polis ketika mereka ingin melintasi pos pemeriksaan di Terminal Feri Kuah pada jam 11.50 pagi.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sebaik pemeriksaan dilakukan anggota Polis Unit Pelancongan bersama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), didapati kedua-dua mereka tidak mencukupi tempoh tarikh vaksinasi lengkap.
Katanya, wanita berusia 25 dan 32 tahun yang berasal dari Pendang, Kedah dan Sabah itu memberi alasan tidak mengetahui tempoh suntikan vaksin belum mencukupi.
Mereka mengaku masuk ke Langkawi untuk tujuan melancong dengan menggunakan feri awam yang berlepas pada jam 10.30 pagi dari Kuala Perlis.
"Mereka ini memang mencuba nasib. Dia tahu dia punya (tempoh) kematangan vaksin (berbaki) tiga hari lagi. Sabar sajalah, Cukup tiga hari, matanglah tempoh 14 hari itu dan datanglah ke Langkawi.
Kedua-dua wanita terbabit didapati melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan telah diarahkan meninggalkan pulau itu dengan segera.
Mereka dihantar pulang dengan menaiki RORO (kapal roll-on/roll-off) dengan dikawal anggota polis sehingga ke Jeti Kuala Perlis.
Kamarul Zaman mengingatkan orang awam supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kesihatan iaitu lengkap tempoh selepas dua dos suntikan vaksin.
Pelancong juga perlu menjalani ujian saringan PCR atau RTK di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.