Belum pasti kes jangkitan koronavirus daripada manusia ke manusia sudah berlaku

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 30, 2020 16:48 MYT
Dr Dzulkefly Ahmad menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media di Putrajaya pada Khamis. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih melakukan kajian terperinci mengenai kes kelima wabak koronavirus membabitkan sorang wanita warga China merupakan kes human to human transmission (jangkitan daripada manusia kepada manusia) tempatan atau tidak.
Ini kerana, kata menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, wanita berusia 36 tahun itu sebelum ini disahkan negatif dari virus tersebut manakala dua anaknya disahkan positif dan ditempatkan di Hospital Sungai buloh.
Bagaimanapun, pada Rabu, wanita berkenaan disahkan positif selepas dia menjaga kedua-dua anaknya di wad.
Menurut Dr Dzulkefly, agak sukar untuk kementerian menentukan perkara tersebut samada individu itu telah dijangkiti sebelum ini ataupun tidak.
"Ia persoalan yang sukar kerana kita tidak tahu adakah dia telah dijangkiti lebih awal ataupun sebaliknya.
"Ini memandangkan tempoh untuk kita mengenalpasti adalah selama 14 hari. Ini baru tujuh hari, jadi sama ada ia kes adalah human to human tempatan atau tidak, belum dapat diputuskan.
"Bagaimanapun, KKM akan terus melakukan kajian terhadapnya untuk memastikan punca sebenarnya," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Khamis.
Bagaimanapun, Dr Dzulkely tidak menolak sebarang kemungkinan yang mungkin menjadi punca wanita berkenaan dijangkiti wabak koronavirus.
Dr Dzulkefly bagaimanapun menolak dakwaan bahawa KKM tidak menangani isu koronavirus ini secara sepatutnya sehingga menyebabkan jangkitan tersebut terhadap wanita berkenaan.
Sebaliknya, kata Dr Dzulkefly, KKM sentiasa memastikan segala langkah pencegahan adalah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
#Dr Dzulkefly Ahmad #human to human transmission #jangkitan daripada manusia kepada manusia #koronavirus #Menteri Kesihatan
;