Belum masa sesuai untuk benarkan penggunaan ganja - KPN

Israr Khalid
Februari 24, 2016 20:13 MYT
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersetuju, malah membantah cadangan untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan. - Gambar hiasan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersetuju, malah membantah cadangan untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.
Ini kerana menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sekarang bukan masa yang sesuai untuk membenarkan penggunaannya disebabkan penyalahgunaan tumbuhan tersebut masih berleluasa.
"Masih ramai lagi anak-anak muda yang menyalahgunakan ganja ini, dan menjadikannya platform untuk berhijrah kepada dadah yang lebih keras.
"Ia juga menyalahi dari segi agama. Bukan sahaja agama Islam, malah mana-mana agama pun melarang umatnya untuk berada dalam keadaan tidak boleh mengawal diri atau khayal," katanya selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada 44 orang pegawai kanan polis yang dinaikkan pangkat di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman.
Jelas Khalid, meskipun benar terbukti tumbuhan ganja mampu menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit, ia perlu berada di bawah kawalan yang ketat dan bukannya untuk digunakan secara meluas oleh orang ramai.
"Morfin pun berguna untuk perubatan, tetapi ia diberikan di bawah kawalan ketat oleh pegawai perubatan.
"Kalau benar ganja ini ada kualiti untuk perubatan, ia mesti dibuat secara betul," ujarnya.
BACA: Hisap ganja untuk hilangkan tekanan kos sara hidup - Syed Rosli
BACA: Pengasih setuju pengharaman ganja dikaji semula
Isu ganja ini kembali berbangkit setelah ahli Parlimen Belia wakil Selangor, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli membahaskan usul memperbaiki undang-undang berkaitan dadah dengan mencadangkan supaya kerajaan memperhalusi dasar pengharaman ganja dengan melihat kegunaannya untuk tujuan positif.
Hujah Ridhwan, selain dapat menjadi ubat, ia juga dapat mengurangkan bilangan penagih dadah sintetik yang membawa lebih kemudaratan kepada kesihatan mental dan fizikal.
#ganja untuk perubatan #Ketua Polis Negara #Khalid Abu Bakar #penggunaan ganja #penyalahgunaan ganja
;