Belum hilang penat, penduduk Raub diuji banjir gelombang kedua
Bernama
Januari 3, 2022 13:30 MYT
Januari 3, 2022 13:30 MYT
KUANTAN: Belum pun hilang penat membersihkan rumah daripada kesan banjir, penduduk Kampung Ulu Sungai di Raub, diuji sekali lagi dengan gelombang kedua banjir pada hari pertama tahun baharu.
Pekerja am Arif Shah Sulaiman, 49, berkata dia sekeluarga masih belum selesai membersihkan rumah kerana mengutamakan kerja pembersihan di rumah emaknya yang terletak bersebelahan sejak mereka dibenarkan pulang ke rumah pada 26 Dis lepas.
"... tak sangka kali ini gelombang kedua terlalu dekat dengan banjir pertama. Peti sejuk pun belum sempat kering dan masih berada (dijemur) di laman rumah.
"Mungkin dah tak dapat diselamatkan kerana sudah tiga kali peti sejuk terendam banjir dalam tempoh setahun," katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.
Arif Shah berkata banjir kali pertama pada awal 2021, dan pada 18 Dis lepas, adalah antara paling teruk pernah dialaminya kerana air naik hingga bahagian ruang tamu rumah yang dibina lebih tinggi daripada bahagian dapur.
Banjir gelombang kedua kali, menurut bapa kepada tiga anak lelaki berusia 18, 14 dan lima tahun itu, hanya melepasi tiga anak tangga bahagian dapur.
"Walaupun hanya di dapur, keadaan masih total lost kerana ada barangan dipindahkan ke ruang tamu ketika banjir pertama. Lantai dan tiang juga banyak rosak akibat arus deras menyebabkan kami perlu tinggal di rumah emak sehingga selesai membaiki rumah sendiri.
"Sebenarnya, saya sudah tak sedap hati kerana hujan tidak berhenti selama dua hari sebelum tahun baharu dan akhirnya firasat itu betul bila siren amaran banjir di belakang rumah berbunyi sekitar 12 tengah malam tahun baharu," katanya.
Walaupun tiga kali diuji musibah banjir dalam setahun, Arif Shah masih mampu bergurau kerana menurutnya dia pernah mengalami banjir sebanyak tujuh kali dalam tempoh sama sejak 14 tahun menetap di kampung tersebut.
Ditanya jika dia pernah berfikir untuk berpindah, Arif Shah berkata faktor kewangan antara kekangan menghalangnya daripada berbuat demikian.
Sementara itu, bagi Rashdan Rashid, 50, yang sudah empat tahun berpindah ke kampung tersebut, ini adalah kali pertama dia berdepan banjir 'hatrik' dalam setahun dan lebih malang buatnya apabila banjir bulan lepas berlaku semasa mereka sekeluarga pulang ke kampung di Negeri Sembilan.
"Sempat bermalam (di rumah) dalam lima hari sahaja sebelum banjir kedua berlaku. Barang elektrik yang baru dicuci pun belum sempat diuji untuk tengok jika masih boleh digunakan," katanya yang melakukan kerja kampung bagi menyara tujuh ahli keluarga.
Rashdan berkata dia memindahkan ahli keluarga ke rumah bapanya di Batu Malim, Raub tanpa menunggu siren amaran banjir berbunyi selepas rakannya yang berada di hulu memaklumkan sungai di bahagian sana sudah naik.
"Bimbang kalau air melimpah pada waktu malam, susah hendak pindahkan mereka terutamanya anak yang kecil hanya berusia setahun tiga bulan.
"Malah, masa kami keluar rumah pun, hujan masih lebat dan tepat tindakan saya apabila malamnya banjir mula berlaku," katanya.
-- BERNAMA